SUKAN

LAPAN PASUKAN AKAN BERENTAP DALAM LIGA SUPER PERLIS 2024

28/06/2024 01:20 PM

KANGAR, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak lapan pasukan akan berentap dalam kejohanan bola sepak Liga Super Perlis 2024 anjuran kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) yang akan bermula Julai hingga Oktober ini.

Lapan pasukan itu ialah KSMR Kangar FC; Anak Nelayan SR FC; Kangar City FC; Arau City FC; Suria Paya BSC SMKTS; Kuala Perlis TFC; Juang Kayang FC dan Bintong FC.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak berkata penganjuran liga itu sejak 2022 antara lain bertujuan mencari bakat baharu dalam sukan bola sepak di negeri berkenaan.

"Sekarang kita di peringkat bawah dan Liga Super Perlis ini sebagai usaha untuk kita mula bangunkan anak-anak muda ke peringkat lebih tinggi termasuk Liga Super Malaysia pada masa depan, insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Liga Super Perlis 2024 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Wan Zikri berkata menerusi penganjuran liga itu kali ini, semua pasukan bertanding akan merasai sendiri fasiliti di Stadium Tuanku Syed Putra.

Setiap pasukan juga diingatkan supaya mementingkan peningkatan kualiti pemain dan pengurusan yang lebih profesional dalam mencari dana.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata penganjuran Liga Super Perlis menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak sekali gus mempunyai kemampuan untuk mewakili negeri pada masa hadapan.

"Harapan saya semoga Perlis dapat memasuki liga yang lebih tinggi bersaing dengan negeri-negeri yang lain pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata orang ramai dijemput menyaksikan perlawanan Liga Super Perlis 2024 bagi memberikan semangat kepada bakat anak-anak tempatan dalam sukan bola sepak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan