AM

SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN PENTING UNTUK SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK

30/06/2024 03:17 PM

KANGAR, 30 Jun (Bernama) -- Sambutan Minggu Perpaduan penting untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia dengan memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi membentuk warganegara bertanggungjawab serta mempunyai jati diri yang kukuh.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sambutan itu juga membangkitkan semangat cintakan negara melalui usaha dan kerjasama pelbagai kaum tanpa mengira perbezaan termasuk agama mahupun ideologi politik dalam menjalankan kerja amal serta sukarela.

"Memupuk amalan bertoleransi serta saling menghormati antara satu sama lain melalui pelbagai medium termasuklah dialog antara agama, forum kebudayaan dan acara-acara integrasi.

"Maka, semangat cintakan negara dapat terus diperkukuh serta dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia," titah baginda ketika berkenan merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2024 peringkat negeri Perlis di Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Pemangku Raja Perlis itu bertitah perpaduan merupakan nilai yang amat penting dalam membina negara Malaysia sekali gus memastikan keharmonian dalam kepelbagaian budaya dan semangat itu dapat memastikan pencapaian cita-cita yang lebih tinggi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah mengharapkan semangat perpaduan dan integrasi sesama rakyat Malaysia akan terus menjadi akar umbi dan tunjang kekuatan bagi menjana kemajuan negara demi kesejahteraan bersama. 

"Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia terutama rakyat negeri kita, Perlis dapat terus hidup harmoni, muhibah dan toleransi dalam suasana perpaduan dan integrasi kerana ia tidak akan membuatkan kita hilang identiti. 

"Perpaduan memerlukan keikhlasan dalam kita sama-sama menikmati pembangunan negara tanpa sebarang perasaan syak wasangka," titah baginda.          

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan