AM

TAMBAK JOHOR MONUMEN BERSEJARAH, SAKSI PENGUKUHAN HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-SINGAPURA

28/06/2024 02:56 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Tambak Johor yang menginjak usia 100 tahun disifatkan sebagai   monumen bersejarah yang mengukuhkan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Singapura khususnya Johor.

Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Prof Dr Kassim Thukiman berkata Tambak Johor yang dibuka secara rasmi pada 28 Jun, 1924 itu telah memberikan impak kepada kemajuan pembangunan ekonomi berterusan antara Johor dan Singapura yang mempunyai kepentingan bersama.

Beliau berkata ini kerana berdasarkan fakta sejarah, kewujudan Tambak Johor telah memacu hubungan yang lebih rapat antara saudagar-saudagar yang berada di Singapura untuk melabur di Johor dan akhirnya menggunakan Tambak Johor untuk mengeksport barang dagangan ke luar negara.

“Sebagai contoh, mulai tahun 1910, sebuah syarikat perladangan Jepun telah menguasai sebahagian besar Johor timur dalam sektor perladangan getah dan menggunakan Tambak Johor untuk mengeksport barang dagangan ke luar negara, begitu juga di kawasan lain (syarikat Jepun) mengadakan perlombongan bijih besi dan bauksit.

“Sebab itu pada hemat saya, dengan adanya Tambak Johor ini, ia telah memacu kepada kemajuan di Johor dan juga Singapura kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan bersama bagi memajukan sektor ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Ahli Lembaga Arkib Negara Malaysia itu berkata Tambak Johor kini terus memainkan peranan dan menjadi antara laluan darat yang tersibuk di dunia dengan lebih 300,000 kenderaan keluar dan masuk melintasi Selat Tebrau setiap hari.

Beliau berkata kedua-dua negara juga dilihat sentiasa memikirkan cara bagi mengatasi isu kesesakan dihadapi yang sekali gus menyaksikan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan.

“…di peringkat kerajaan Malaysia, di bawah projek Lebuhraya Utara Selatan, Linkedua (Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura) telah dibina bagi menghubungkan Tuas di Singapura dan Gelang Patah di Johor dan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor,” katanya.

Selain itu, katanya Keretapi Tanah Melayu (KTM) Bhd juga telah mengadakan sistem perkhidmatan komuter di Johor Bahru dan Woodlands sebagai pengangkutan alternatif.

Menyingkap sejarah pembinaan Tambak Johor, beliau berkata cetusan idea bermula daripada isu kesesakan di Selat Tebrau yang dipenuhi tongkang-tongkang dan feri untuk mengangkut barang dagangan dari Tanjung Puteri ke Kranji bagi membolehkan dibawa ke Tanjong Pagar, sebelum dieksport melalui Pelabuhan Keppel di Singapura.

Beliau berkata rentetan itu Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar bersetuju untuk meletakkan batu asas bagi pelaksanaan pembinaan Tambak Johor pada 24 April 1920 sebelum dibuka secara rasmi empat tahun kemudian. 

Kerajaan Johor juga telah membelanjakan lebih 15 juta pound sterling untuk membina Tambak Johor, manakala Singapura pula tidak melebihi 2 juta pound sterling dan ini telah menunjukkan sumbangan negeri itu dalam pembiayaan Tambak Johor, kata Ahli Lembaga Yayasan Warisan Johor itu.

Justeru itu, beliau berkata sewajarnya generasi hari ini menyedari bahawa pembukaan Tambak Johor sepanjang 1,056 meter itu mempunyai erti yang besar dari segi impak pembangunan terutama ekonomi, hubungan tali persaudaraan antara rakyat serta persahabatan dan diplomatik antara kedua-dua negara.

Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata Tambak Johor yang menyambut ulang tahun yang ke-100 merupakan peringatan tepat pada masanya mengenai bagaimana lintasan darat paling sibuk di dunia itu bukan sekadar hubungan fizikal antara kedua-dua negara, tetapi juga menjadi simbol ikatan yang berkekalan.

Untuk rekod, Tambak Johor sebelum ini pernah ditutup dua tahun lamanya apabila sempadan negara ditutup pada 18 Mac 2020 susulan COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan