DUNIA

SEORANG MAUT, BUMBUNG RUNTUH DI LAPANGAN TERBANG DELHI

28/06/2024 03:15 PM

NEW DELHI, 28 Jun (Bernama-dpa/Xinhua) -- Beberapa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi digantung pada pagi Jumaat selepas sebahagian bumbung Terminal 1 runtuh akibat hujan lebat, menurut pihak lapangan terbang.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan enam cedera, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik saluran berita NDTV dan agensi berita PTI.

Menurut NDTV, mangsa berada dalam empat kenderaan yang dihempap oleh balok yang runtuh.

"Akibat hujan lebat sejak awal pagi ini, sebahagian kanopi di hadapan pintu berlepas lama Terminal 1 Lapangan Terbang Delhi runtuh sekitar jam 5 pagi (2330 GMT Khamis)," menurut kenyataan lapangan terbang itu, sambil menambah bahawa "terdapat laporan kecederaan”.

Semua penerbangan berlepas dari Terminal 1 pada mulanya digantung. Dalam kemas kini pada 8.45 pagi, lapangan terbang menyatakan semua penerbangan dari Terminal 2 dan Terminal 3 "beroperasi sepenuhnya", manakala penerbangan berlepas dari Terminal 1 "dibatalkan sehingga 2 petang hari ini”.

Sementara itu, hujan lebat pada awal pagi Jumaat telah menjejaskan kehidupan normal di ibu kota India, dengan beberapa tempat mengalami banjir teruk, lapor Xinhua.

Kenderaan kelihatan tenggelam dalam air bertakung di bawah jambatan selepas hujan lebat yang berterusan sekurang-kurangnya tiga jam. Sistem saliran yang lemah dipersalahkan atas kejadian banjir teruk itu.

Banyak tempat di kawasan Perbadanan Perbandaran New Delhi (NDMC) yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan penting serta kediaman rasmi ahli parlimen, hakim kanan dan pegawai pentadbiran, mengalami banjir sehingga ke paras lutut.

-- BERNAMA-AGENSI

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan