AM

OPERASI PEMBERHENTIAN PENCEROBOHAN BERTERUSAN DI SVTP IKUT LUNAS UNDANG-UNDANG - PKNPK

30/06/2024 05:30 PM

IPOH, 30 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menjalankan proses pemberhentian pencerobohan berterusan di kawasan Silver Valley Technology Park (SVTP) di sini mengikut proses dan lunas undang-undang demi menjaga hak dan kepentingan semua pihak.

PKNPk dalam kenyataan hari ini memaklumkan selaku agensi yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi di Perak, perbadanan itu sedang mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan SVTP yang berkeluasan 3,088 ekar (1249.6693 hektar) di Kanthan, Chemor dekat sini.

Kawasan itu merupakan zon perindustrian di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) 4 untuk pematuhan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan elemen teknologi hijau.

Selaku pemilik berdaftar tanah tersebut yang sah dari sisi undang-undang, PKNPk memaklumkan mereka mengambil pendekatan menghalang pencerobohan secara berterusan di atas tanah hak miliknya itu.

"Sehubungan itu, langkah yang diambil pada 29 Jun 2024 (semalam) adalah untuk memberi fokus terhadap pembangunan projek SVTP yang dijangka bakal mewujudkan sebanyak 13,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," menurut kenyataan itu.

Sebagai penggerak utama ekonomi Perak, adalah penting bagi perbadanan itu merealisasikan projek berimpak tinggi seperti pembangunan projek SVTP yang dijangka dapat memacu pembangunan positif di negeri ini, khususnya di bandar raya Ipoh.

"Pembangunan yang dirancang itu bakal menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan membuka peluang perniagaan yang sudah tentu bakal memperkukuhkan ekonomi Perak seterusnya memberi manfaat kepada ribuan rakyat tempatan,” menurutnya.

PKNPk memaklumkan langkah proses pemberhentian pencerobohan berterusan itu penting bagi menjaga keharmonian dalam pembangunan negeri sambil memelihara alam sekitar dan memastikan keadilan dalam penggunaan sumber tanah.

"Bagaimanapun dengan kuasa budi bicara PKNPk sekiranya perlu, penceroboh-penceroboh boleh memohon kebenaran daripada PKNPk untuk memasuki dan membawa keluar hasil tanaman atau aset-aset milik penceroboh dalam tempoh yang ditetapkan," menurut PKNPk.

Justeru, PKNPk memaklumkan mereka sekali lagi mengulangi bahawa sejak 2021, perbadanan itu telah mengadakan beberapa sesi libat urus dan turut menawarkan tanah alternatif di Changkat Kinding yang telah digazetkan sebagai zon pertanian. 

PKNPk memaklumkan lokasi tanah pertanian di Changkat Kinding di sini adalah usaha yang dijalankan bersama antara PKNPk, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan kerajaan negeri, namun penceroboh enggan menerima tawaran PKNPk sehingga hari ini.

"Sekiranya penceroboh bersetuju untuk menandatangani perjanjian pajakan di tanah alternatif yang disediakan di Changkat Kinding, perjanjian tersebut akan didaftarkan bagi membolehkan mereka bebas melakukan aktiviti pertanian sepanjang tempoh pajakan," menurut kenyataan tersebut.

Justeru, PKNPk sekali lagi mengulangi pendirian serta jaminan bahawa pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan penceroboh-penceroboh yang terlibat dalam operasi itu untuk berpindah ke Changkat Kinding.

PKNPk memaklumkan mereka sentiasa komited untuk melaksanakan amanah sebagai peneraju pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi di Perak, di samping memastikan amalan, prosedur perancangan dan penggunaan tanah yang betul serta mengekalkan kedaulatan undang-undang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan