AM

JENAZAH SYED HUSIN SELAMAT DIKEBUMIKAN

29/06/2024 02:29 PM

PETALING JAYA, 29 Jun (Bernama) -- Jenazah Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Syed Husin Ali selamat dikebumikan pada 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara di sini.

Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid Kampung Tunku di sini untuk dimandi dan dikafan, diikuti solat jenazah yang diimamkan imam Ahmad Saad.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar.

Anak Allahyarham Muhammad Ali berkata bapanya didiagnosis menghidap kanser pankreas pada April lepas, namun keadaan kesihatan dan faktor usia yang hampir mencecah 88 tahun menyebabkan rawatan intensif tidak dapat dibuat.

"Arwah sudah menjalani kehidupan yang panjang dan menggunakan usianya sepenuhnya. Untuk kami semua (keluarga) kami reda," katanya ketika ditemui pemberita.

Muhammad Ali berkata walaupun bapanya aktif dalam politik dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun Allahyarham sentiasa berusaha mengajar anak-anak termasuk ketika dalam tahanan.

"Salah satu minat saya tentang haiwan bermula dengan ayah. Dia akan mengutip riang-riang (serangga) di Taiping (Kem Tahanan Kamunting). Dia tahu saya suka binatang, dia keringkan, lekapkan dan beri kepada saya semasa lawatan.

"Banyak ilmu yang dia sampaikan dan insya-Allah akan saya sampaikan juga melalui interaksi saya dengan masyarakat," katanya.

Syed Husin yang dilahirkan di Johor pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden Parti Rakyat Malaysia serta profesor di Universiti Malaya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi pada 1985 hingga 1990.

Beliau dikurniakan tiga anak hasil perkahwinan dengan Sabariah Abdullah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan