AM

SYED HUSIN INSAN AMAT RAPAT, SENTIASA JADI RUJUKAN - ANWAR

29/06/2024 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham Dr Syed Husin Ali sebagai seorang sahabat, pemikir, dan guru beliau.

Mengakui sayu dan terkesan dengan pemergian Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu, Anwar yang juga Presiden PKR turut menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh perjuangan parti.

“Saya amat terkesan tatkala saudara Syed Husin adalah watak yang amat rapat dan senantiasa menjadi rujukan dalam pelbagai hal yang mendesak.

“Takziah kepada keluarga almarhum dengan doa agar kuat dan tabah menerima ujian berat ini,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.

Terdahulu jenazah Syed Husin selamat dikebumikan pada 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara di sini.

Anak Allahyarham, Muhammad Ali berkata bapanya didiagnosis menghidap kanser pankreas pada April lepas, namun keadaan kesihatan dan faktor usia yang hampir mencecah 88 tahun menyebabkan rawatan intensif tidak dapat dibuat.

Syed Husin yang dilahirkan di Johor pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden Parti Rakyat Malaysia serta profesor di Universiti Malaya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi pada 1985 hingga 1990.

Beliau dikurniakan tiga anak hasil perkahwinan dengan Sabariah Abdullah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan