SUKAN

KURANG KONSENTRASI PENYEBAB MUFT KALAH 5-0 KEPADA JDT

30/06/2024 02:43 PM

ISKANDAR PUTERI, 30 Jun (Bernama) -- Ketua Jurulatih Malaysian University FT (MUFT) Ridzuan Abu Shah mengakui konsentrasi kurang dalam kalangan pemainnya pada separuh masa kedua antara penyebab pasukan itu tewas 5-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata pujian harus diberikan kepada penjaga gol MUFT Muhammad Ashraf Mohamad Fadhil yang dapat menangkis beberapa percubaan Harimau Selatan.

"Kami datang ke sini untuk mengelak daripada dibolosi dengan jaringan yang banyak, itu sahaja tujuan kami, sebab kami sudah melangkah ke suku akhir, jadi hendak atau tidak kita kena menghadapi lawan yang berada di hadapan.

"Motivasi yang saya berikan kepada mereka adalah supaya mendisiplinkan diri dalam menentukan and mengekori serta membantu satu sama lain. Itu diterapkan untuk kita bertahan, tetapi kurangnya konsentrasi pada pemain membuatkan jaringan lebih banyak berlaku," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Ridzuan berkata MUFT tidak bertuah untuk meraikan satu jaringan oleh pemain sayapnya Mohd Alief Najmi Mohd Radzi selepas dibatalkan setelah pemeriksaan menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Beliau berkata aksi menentang JDT yang merupakan antara kelab terbaik di Asia memberi pengajaran yang berguna buat anak buahnya agar beraksi pada perlawanan akan datang dengan lebih matang.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Hector Pablo Bidoglio berkata taktik pasukan lawan yang lebih banyak bertahan menyukarkan pemainnya untuk menggandakan jaringan pada separuh masa pertama.

"Saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain dan diketahui bahawa JDT sentiasa bermain dengan serangan-serangan, bertahan dan juga menguasai permainan," katanya. 

JDT meletakkan sebelah kaki ke perlawanan separuh akhir Piala FA 2024/2025 musim ini apabila membelasah MUFT yang merupakan pasukan Liga A1 dengan jaringan 5-0 menerusi Corbin Ong, Shahrul Mohd Saad, Romel Morales dan dua gol oleh Francisco De Oliveira Geraldes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan