DUNIA

DIARI BEIJING: MEMPROMOSIKAN DIPLOMASI MENERUSI MAKANAN MALAYSIA DI CHINA

30/06/2024 05:35 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

BEIJING, 30 Jun (Bernama) -- Makanan adalah cara terbaik untuk mempelajari budaya sesebuah negara dan juga memberikan rasa keakraban serta keselesaan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

Malaysia terkenal sebagai syurga penggemar makanan kerana warga tempatan pada umumnya menikmati warisan masakan yang pelbagai daripada masyarakat berbilang kaum.

Di Beijing, penulis berkesempatan mengunjungi kopitiam milik rakyat Malaysia yang baru dibuka, Laksa Queen yang menawarkan pelbagai makanan Malaysia seperti kuih kaswi, roti bakar dengan kaya buatan sendiri bersama telur separuh masak, hor fun ayam, dan cendol musang king.

Selain cendol musang king, kopitiam Malaysia pertama oleh MULU Group di ibu negara China itu turut menawarkan makanan asli Malaysia termasuk laksa Sarawak yang telah dipromosikan di Beijing sejak tahun 2019.

Pembukaan itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan diplomasi menerusi makanan Malaysia.

Bersama penulis ialah seorang lagi wartawan Malaysia dari Sin Chew Daily yang juga merindui hidangan Malaysia yang enak serta seorang lagi wartawan dari Maldives, Ibrahim Hulail, yang telah banyak kali melawat Malaysia.

Ibrahim memberitahu saya bahawa dia tidak pernah makan kari sejak ketibaannya di China untuk program pertukaran media yang kami sertai sejak akhir Februari tahun ini.

Saya membuat banyak kunjungan susulan ke Laksa Queen hanya untuk mengubati keinginan saya terhadap makanan Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian saya, Laksa Queen menerima sokongan yang luar biasa bukan sahaja daripada penduduk tempatan China tetapi juga kakitangan kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang lain.

Laksa Queen lebih daripada sekadar sebuah kopitiam; ia adalah lambang budaya Malaysia di Beijing, menawarkan rasa seperti di tanah air bagi rakyat Malaysia di luar negara dan memperkenalkan warisan masakan Malaysia yang kaya kepada penduduk tempatan dan pelawat.

Ia memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan budaya dan mempromosikan diplomasi menerusi makanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan