AM

LEBIH 20,000 PEPASANGAN PROGRAM NEM RAKYAT BEROPERASI - SEDA

01/07/2024 01:34 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Sebanyak 151.86 megawatt (MW) atau 20,418 pepasangan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat telah beroperasi sehingga kini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Datuk Hamzah Husin.

Hamzah berkata program berkenaan yang diperkenalkan pada 2021 itu menawarkan kuota sebanyak 350 MW dan sehingga Jun lepas sebanyak 241.46 MW telah diluluskan iaitu 68.98 peratus.

Beliau berkata SEDA dipertanggungjawab untuk membangunkan industri Tenaga Lestari (TL) negara menerusi pelaksanaan Tarif Galakan, Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga.

“Pelaksanaan program-program ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar dan komitmen mengurangkan sehingga 45 peratus gas rumah kaca (GHG) menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di bawah Program NEM Rakyat, pengguna domestik yang memasang sistem fotovolta suria (PV) di bumbung premis akan menggunakan tenaga yang dihasilkan terlebih dahulu dan lebihan tenaga yang dihasilkan akan dieksport ke grid Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Antara kebaikan memasang panel solar ialah pengguna dapat memperoleh tenaga bersih serta mesra alam sekitar, selain menjimatkan bil elektrik dalam jangka masa panjang.

Hamzah berkata kerajaan juga telah memperkenalkan program Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) iaitu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV di premis kediaman di bawah program NEM, bagi menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik.

“Program yang telah bermula pada 1 April lepas dijangka dapat meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah program NEM Rakyat. Bagi mereka yang layak akan menerima rebat sebanyak RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000,” katanya.

Mengenai program SAVE 4.0, Hamzah berkata sehingga kini, 239,977 unit rebat daripada 250,000 unit yang diperuntukkan telah dinikmati oleh pengguna di seluruh negara, dengan e-rebat yang ditawarkan sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara bertaraf empat atau lima bintang cekap tenaga di kedai berdaftar atau platform e-dagang.

Jumlah itu katanya melibatkan nilai RM48 juta daripada keseluruhan RM50 juta. 

Hamzah berkata pihaknya berharap semua rakyat negara ini memainkan peranan dalam merealisasikan sasaran Malaysia sebagai negara pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 peratus kepada 70 peratus.

Pelbagai informasi menarik mengenai amalan gaya hidup lestari boleh didapati daripada laman sesawang www.seda.gov.my serta dengan mengikuti media sosial SEDA Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan