DUNIA

MASA HADAPAN MSM DITUTUP LEBIH TINGGI

01/07/2024 10:13 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini berikutan prospek pengeluaran minyak sawit yang lebih lemah daripada jangkaan, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Pengukuhan dalam harga minyak kacang soya di Lembaga Perdangagan Chicago (CBOT) turut meningkatkan sentimen pasaran.

“Kami melihat sokongan harga pada paras RM3,900 setan dan rintangan pada RM4,050 setan,” katanya kepada Bernama. 

Ng ketika mengulas lanjut mengenai prospek pengeluaran yang lebih lemah daripada jangkaan menjelaskan data Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan (SPPOMA) dari 1 hingga 30 Jun menunjukkan pengeluaran menurun 5.1 peratus dari bulan ke bulan. 

“Anggaran ini mencerminkan pengeluaran yang lebih rendah walaupun tempoh pengeluaran yang agak tinggi secara bermusim.

"Pengeluaran yang lebih rendah berkemungkinan akan menyebabkan stok simpanan tempatan menyusut, seterusnya akan melonjakkan harga," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kenaikan dalam niaga hadapan MSM hari ini juga disumbangkan oleh keuntungan dalam niaga hadapan minyak sayuran China dan niaga hadapan minyak kacang soya CBOT pada waktu Asia.

“Eksport minyak sawit Malaysia bagi Jun 2024 yang dianggarkan oleh Intertek Testing Perkhidmatan (ITS) adalah pada 1.307 juta tan, menurun 11.82 peratus daripada jangkaan Mei iaitu sebanyak 1.482 juta.

“Pasaran kini menunggu unjuran pengeluaran sebulan penuh oleh UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia,” katanya.

Penganalisis kanan Fastmarkets, Sathia Varqa berkata keuntungan dalam niaga hadapan minyak sayuran berkaitan di bursa China, terutamanya olein sawit di Dalian termasuk niaga hadapan minyak biji sesawi di bursa Zhengzhou yang berakhir lebih baik telah memacu harga sawit.

“Data pengeluaran yang rendah daripada SPPOMA menunjukkan pengeluaran Jun merosot sebanyak 5.10 peratus telah mengekalkan momentum belian. Peniaga mengetepikan data eksport yang lemah bagi menjejaki keuntungan dalam minyak sayuran berkaitan di Dalian,” katanya.

Pada penutup, kontrak bulan semerta Julai 2024 menambah RM48 kepada RM4,024 satu tan, Ogos 2024 meningkat RM66 kepada RM3,998 satu tan, September 2024 menokok RM63 kepada RM3,979 satu tan, Oktober 2024 naik RM60 kepada RM3,965 satu tan, November 2024 melonjak RM56 kepada RM3,959 satu tan, dan Disember 2024 adalah lebih baik sebanyak RM52 kepada RM3,963 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 59,294 lot berbanding 64,244 lot yang disaksikan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 210,858 kontrak daripada 203,691 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan adalah RM50 lebih tinggi pada RM4,050 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan