SUKAN

TAMPIN MTB JAMBOREE TARIK LEBIH 2,000 PENYERTAAN

01/07/2024 10:42 PM

TAMPIN, 1 Julai (Bernama) -- Aktiviti berbasikal laluan lasak, Tampin MTB Jamboree tahun ini menarik 2,053 penyertaan termasuk 273 peserta luar negara pada program yang akan berlangsung pada hujung minggu ini di Gemas.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin Mohd Fadhil Hassan berkata jumlah keseluruhan penajaan juga mencecah RM120,000 sekali gus membuktikan kejayaan penganjuran program tahunan itu sejak diperkenalkan pada 2019.

Beliau berkata program itu akan bermula di Akademi Kecemerlangan Minda dan Fizikal (AKAL) Felda Bukit Rokan, Gemencheh melibatkan laluan sepanjang 36 kilometer.

"Penyertaan sebenar ditetapkan adalah seramai 1,500 peserta, namun dalam masa 18 hari penyertaan telah mencecah 2,053 peserta berbanding 1,800 pada tahun lepas.

"Tahun ini ada kelainan dengan peserta perlu melalui jalan lebih berbukit, jadi tenaga fizikal lebih banyak perlu digunakan dan mencabar berbanding banyak cerun perlu dilalui," katanya pada sidang media sesi pengenalan penaja program itu di sini hari ini.

Mohd Fadhil berkata peserta tempatan dan luar negara dari Filipina, Singapura, Indonesia, India, Belanda dan United Kingdom akan mengambil bahagian dalam 15 kategori manakala acara Push Bike Challenge Terbuka Kebangsaan melibatkan penyertaan kanak-kanak seluruh negara.

Tampin MTB Jamboree, katanya mampu mempromosikan beberapa lokasi menarik antaranya Gua Emas, Jambatan Perang Dunia Kedua, Muzium Keretapi Gemas, Tampin Waterpark, Tampin Extreme Park, Restoran Lomak Salai dan Kompleks Homestay Gemas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan