EKONOMI

ORIENT TELECOMS SASAR TINGKATKAN BAHAGIAN PASARAN SEHINGGA 50 PERATUS DI MALAYSIA

04/07/2024 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Orient Telecoms Plc, penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang berpangkalan di United Kingdom menyasarkan untuk mengembangkan bahagian pasarannya di Malaysia sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga tahun dengan memperkenalkan lebih banyak penyelesaian kepada pasaran.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologinya, Sayed Mustafa Ali berkata syarikat itu berjaya menguasai antara 10 hingga 12 peratus pasaran tempatan dari 2019 hingga hari ini.

Bagaimanapun, bahagian pasaran 50 peratus itu tidak semestinya hanya bahagian Orient Telecoms sahaja tetapi kami juga berkongsi bahagian itu dengan syarikat telekomunikasi lain seperti Telekom Malaysia Bhd atau Time Dotcom Bhd.

"Ketika ini, kami sedang membentuk pasukan jualan kerana kami merancang untuk mengambil pekerja sehingga 30 jurujual dalam tempoh enam bulan akan datang seterusnya memulakan perjalanan ini (mencapat sasaran ditetapkan)," katanya pada sidang media selepas melancarkan pelan internet ORBIT 10,000 Premium Business di sini hari ini.

Pelan Perniagaan Premium ORBIT 10,000 dengan kapasiti 10 gigabit sesaat (Gbps), direka untuk perniagaan besar dan perusahaan kecil dan sederhana yang mahu mentakrifkan semula ketersambungan mereka dengan kelajuan internet 10,000 megabit sesaat (Mbps).

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata perkhidmatan berkenaan juga menyepadukan rangkaian teknologi canggih dan keupayaan sistem yang direka untuk memenuhi permintaan perusahaan masa kini.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Kejuruteraan Rangkaian Orient Telecoms Khairi Hafidz berkata rangkaian ORBIT 10,000 akan menumpukan di kawasan Lembah Klang buat masa ini.

“Kami mempunyai rancangan untuk mengembangkan rangkaian ke negeri-negeri di Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, buat masa ini kami akan membangunkan rangkaian di Lembah Klang terlebih dahulu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan