AM

MAJIKAN, PEKERJA PERLU AMBIL LANGKAH KESELAMATAN HADAPI PERUBAHAN CUACA

02/07/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Majikan dan pekerja perlu peka dengan perubahan cuaca yang melanda negara agar dapat melakukan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko yang boleh menyebabkan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Manivanan Gowin berkata majikan harus melaksanakan kaedah pencegahan secara komprehensif untuk menangani risiko perubahan cuaca, manakala pekerja perlu proaktif dalam melindungi diri daripada kemalangan dan penyakit yang mudah menular apabila cuaca menjadi terlalu panas atau hujan berterusan.

"Jika sebelum ini pekerja berhadapan cuaca panas melampau yang boleh menyebabkan tegasan haba (heat stress), kini mereka bakal berhadapan dengan cabaran berlainan apabila fenomena La Nina dijangka melanda negara bermula bulan ini (Julai)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini memaklumkan bahawa La Nina dijangka membawa keadaan cuaca yang lebih lembap antara Julai dan September, lazimnya mencapai kemuncak menjelang akhir tahun dan berterusan pada awal tahun depan.

Berdasarkan kes sebelum ini, Manivanan berkata antara risiko dihadapi di tempat kerja terbuka ialah hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir, selain kes demam denggi lebih kerap dilaporkan apabila banyak air bertakung, manakala kawasan dilanda banjir berdepan risiko penyakit seperti taun, kencing tikus dan cirit-birit.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan supaya majikan dan pekerja melaksanakan pendekatan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) yang diamalkan secara meluas dalam pelbagai industri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Pada musim hujan misalnya, risiko tambahan seperti tergelincir dan jatuh boleh berlaku. Majikan dan pekerja perlu mengenal pasti dan mengatasi risiko sebegini dengan memasang lantai antigelincir, memastikan saluran air berfungsi dengan baik dan menyediakan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

"Proses HIRARC juga dapat membantu memastikan tempat kerja selamat walaupun dalam keadaan cuaca buruk," katanya dan menambah NIOSH menawarkan perkhidmatan konsultasi serta mempunyai kepakaran untuk membantu majikan mengenal pasti dan mengurangkan risiko berkaitan cuaca.

Manivanan berkata NIOSH juga bersedia memberikan khidmat nasihat dan rundingan untuk majikan memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun lepas.

"Antara perubahan ketara dalam pindaan akta berkenaan ialah peningkatan penalti 10 kali ganda daripada RM50,000 kepada RM500,000 terhadap majikan yang mengabaikan keselamatan pekerja.

"Hal ini membuktikan kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kementerian Sumber Manusia memberikan perhatian serius terhadap isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja," katanya.

Beliau berkata NIOSH komited untuk meningkatkan tahap KKP negara dan bersedia membantu majikan memperbaik standard keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terutamanya ketika menghadapi perubahan iklim global dan risiko berkaitan cuaca panas melampau dan hujan berterusan.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan