DUNIA

STOK SIMPANAN DIUNJUR TINGGI, NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

04/07/2024 09:30 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan Khamis dengan lebih rendah berikutan kebimbangan mengenai peningkatan stok simpanan yang menjejaskan sentimen terhadap komoditi itu.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata pasaran minyak kacang soya Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) ditutup hari ini sempena cuti umum hari kemerdekaan di Amerika Syarikat.

“Paras sokongan dikesan pada RM4,000 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,150 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, menjelang makluman Lembaga Minyak Sawit Malaysia mengenai data bekalan dan permintaan pada Jun yang dijadual esok, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani mengunjurkan stok akhir minyak sawit Malaysia Jun meningkat 5.789 peratus kepada 1.854 juta tan susulan penurunan pengeluaran sebanyak empat peratus dan eksport 10.7 peratus. 

"Tinjauan Bloomberg pula menganggarkan stok akhir berada pada paras 1.82 juta tan dengan penurunan pengeluaran sebanyak enam peratus dan eksport susut 10 peratus. Tinjauan Reuters pula meletakkan angka stok akhir Jun meningkat kepada 1.83 juta tan dengan penurunan eksport sebanyak 10 peratus dan kerugian pengeluaran sebanyak lima peratus.

“Pasaran kini menunggu data pengeluaran minyak sawit penuh oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia," katanya. 

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Julai 2024, Ogos 2024, November 2024 dan Disember 2024 susut RM16 masing-masing pada RM4,117 satu tan, RM4,082 satu tan, RM4,036 satu tan dan RM4,036 satu tan. 

Dalam pada itu, kontrak September 2024 dan Oktober 2024 masing-masing turun RM15 kepada RM4,067 satu tan dan RM4,048 satu tan. 

Jumlah dagangan berkurangan kepada 63,312 lot daripada 75,698 lot manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 228,811 kontrak daripada 222,349 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan kekal pada RM4,150 satu tan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan