AM

JAWATANKUASA BERTINDAK TANGANI ISU PEKERJA ASING DI PENGERANG DITUBUHKAN

02/07/2024 10:50 PM

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Bertindak bagi Menangani Isu Pekerja Warga Asing di Pengerang, Kota Tinggi khususnya berkaitan masalah lambakan pekerja asing di kawasan itu.  

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 21 Mei lepas memutuskan jawatankuasa berkenaan ditubuhkan dengan lima peranan utama. 

"Jawatankuasa ini membincangkan serta membuat keputusan terhadap isu-isu berkaitan pekerja asing di Pengerang, membincangkan serta merangka tindakan berkaitan perkara melibatkan kuarters pekerja asing, dan menentukan langkah penyelesaian jangka masa pendek serta panjang dalam menangani isu lambakan pekerja asing.

"Selain itu, jawatankuasa ini turut merangka tindakan penguatkuasaan terhadap majikan dalam urusan pekerja asing dan membuat keputusan dasar bagi tindakan lanjut jabatan yang terlibat dalam penyelesaian perkara berkaitan pekerja asing," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau malam ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Pegawai Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Pentadbir Tanah Kota Tinggi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Johor Petroleum Development Corporation dan Bahagian Perancang Ekonomi Johor. 

Menurutnya mesyuarat pertama hari ini memutuskan bahawa asrama pekerja yang pernah mendapat kelulusan permit bangunan sementara daripada MPP dipertimbangkan untuk menjalani proses pemutihan supaya kawal selia yang lebih berkesan dapat dilaksanakan. 

Lee berkata isu berkaitan lambakan pekerja asing terabai di Pengerang pada tahun lepas telah menimbulkan kegusaran dan ketidakselesaan masyarakat tempatan berikutan pengurusan kuarters yang tidak teratur, lokasi penempatan kuarters yang tidak sesuai dan tiada pelaksanaan kawalan keselamatan. 

"MKN dengan kerjasama PDRM, JIM, JTK, MPP dan agensi berkaitan telah menjalankan beberapa operasi bersepadu serta lawatan pemantauan sejak Ogos 2023. Tinjauan terkini mendapati baki pekerja asing yang masih berada di tiga asrama penginapan pekerja di Pengerang sebanyak 461 orang.

"Kesemua mereka mempunyai pekerjaan di kawasan itu, manakala lain-lain pekerja asing telah dikeluarkan dari asrama penginapan oleh majikan mereka untuk bekerja di tempat lain," katanya sambil menambah pemantauan dan penguatkuasaan berkala akan terus dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan