AM

KERAJAAN NEGERI LANCAR TABUNG KASIH JOHOR-PALESTIN 2.0

04/07/2024 12:10 AM

ISKANDAR PUTERI, 3 Julai (Bernama) -- Johor meneruskan inisiatif membantu rakyat Palestin dengan melancarkan kutipan sumbangan menerusi Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata tabung berkenaan yang dikelolakan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Luar menyasarkan kutipan RM2.5 juta dalam tempoh dua bulan hingga Ogos ini.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan dengan empat cara iaitu bungkusan sumbangan dilakukan rakyat Johor menerusi sukarelawan yang akan dihantar menggunakan jalan laut, bungkusan sumbangan di sempadan Mesir-Gaza, pemberian khemah di bawah Perkampungan Johor di Gaza dan pemberian makanan panas di kem rakyat Palestin.

Mohd Fared berkata masakan panas, khemah dan bungkusan dari Mesir akan disalurkan terlebih dahulu sebagai bantuan bagi menghadapi musim sejuk di Gaza.

“Manakala pembungkusan oleh sukarelawan Southern Volunteer dan Briged Aqsa akan dibuat secara gotong-royong di Johor dan penghantaran itu dijangka dibuat pada pertengahan Ogos sempena Bulan Kemerdekaan.

“Kita mendapat nasihat agar menyediakan bahan makanan seperti minyak zaiton dan tepung yang bersesuaian untuk penduduk Palestin, barangan yang kita beli pun mengikut peraturan ditetapkan oleh Kementerian Luar berdasarkan nasihat daripada pihak Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, sebanyak RM500,000 telah disumbangkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), manakala RM2,061 oleh UMNO Bahagian Parit Sulung kepada Tabung Kasih Johor Palestin.

Mohd Fared dalam pada itu berkata tabung berkenaan akan digerakkan ke hampir 3,000 surau dan masjid di seluruh negeri ini yang telah diarahkan untuk membuat kutipan khas pada setiap Jumaat. 

Beliau berkata semua kutipan dan perbelanjaan berkaitan sumbangan itu akan diumumkan kepada rakyat bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan