AM

TIADA BAU BUSUK, PENJAGA KEBUN TIDAK SANGKA ADA RANGKA MANUSIA

25/06/2024 05:58 PM

BATU PAHAT, 25 Jun (Bernama) -- Penjaga dan juga pekerja kebun durian di lokasi penemuan rangka dipercayai milik remaja yang dilaporkan hilang sebelum ini, tidak menyangka terdapatnya rangka di situ kerana selain bau durian, tiada sebarang bau busuk dan mencurigakan.

Penjaga kebun yang dikenali sebagai Wong, 72, berkata dia berulang-alik setiap hari ke kebun yang letaknya bersebelahan dengan Kompleks Penghulu Mukim Linau sejak sebulan lalu, kerana membersihkan kebun serta mengutip buah durian.

Beliau berkata semenjak kira-kira 30 tahun menjaga kebun terbabit yang berkeluasan enam ekar, itulah kali pertama penemuan tulang dan rangka manusia di lokasi itu, meskipun pernah menemukan beberapa tulang haiwan yang mati sebelum ini.

“Sebenarnya, pada empat hari lepas (Sabtu) saya ada menemukan tulang di kebun ketika kerja pembersihan, namun tidak menyangka ia milik manusia dan beranggapan ia milik haiwan kerana tiada bau yang kurang menyenangkan.

“Namun, semalam saya ternampak pasukan polis di lokasi yang menyatakan terdapatnya rangka manusia sebelum diminta untuk membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di kebun durian di Jalan Yong Peng, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penyelia Pembinaan Kompleks Penghulu Mukim Linau Mohd Rizza Masri, 38, turut menyatakan tiada bau busuk di lokasi itu, walaupun dia bekerja di kawasan kira-kira 50 meter dari tempat itu, sejak dua bulan lalu.

“Saya dan pekerja lain bekerja seperti biasa sehingga ramai orang datang bersama polis, barulah kami tahu yang terdapatnya rangka dan juga motosikal yang dikatakan milik remaja yang dilaporkan hilang bulan lepas,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan penemuan rangka manusia dalam kebun durian yang disyaki milik Hafiz Fauzan Abdul Halid, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) selepas dilaporkan hilang 26 Mei.

Turut ditemukan motosikal yang hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan