EKONOMI

SC BERI AMARAN KEPADA ORANG RAMAI PENIPUAN PELABURAN PRA-IPO

04/07/2024 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipuan pelaburan yang menjerat pelabur dengan saham pra-tawaran awam permulaan (IPO) syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata penipuan ini, yang kebanyakannya melibatkan tawaran penempatan persendirian, biasanya ditetapkan selari dengan masa penyenaraian IPO akan datang yang diterbitkan di laman web Bursa Malaysia.

“Pelaku penipuan ini yang menyamar sebagai 'ejen,' kebiasaannya akan membuat group di WhatsApp untuk mempromosikan pelaburan pra-IPO ini. Berikutan itu, bakal mangsa akan dimasukkan ke dalam group berkenaan tanpa kebenaran.

“Skim ini mungkin disertakan dengan testimoni palsu daripada pelabur lain agar mereka kelihatan boleh dipercayai. Pembayaran untuk 'langganan' perlu dibuat ke akaun bank entiti yang tidak berkaitan dengan IPO dan disyaki sebagai akaun bank keldai,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada hari penyenaraian IPO, 'ejen' ini akan mengumumkan saham IPO telah disenaraikan dan telah mendapat keuntungan, dan memaklumkan bayaran tambahan diperlukan untuk saham mereka diperuntukkan.

“Ini sudah tentunya satu penipuan untuk menjerat mangsa agar memberi lebih banyak wang,” kata SC.

Sehingga kini, SC telah menerima pelbagai aduan dan pertanyaan daripada pelabur yang melaporkan kerugian yang besar iaitu melebihi RM800,000.

SC memandang serius perkara ini dan akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan sedemikian.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dalam menilai tawaran pelaburan termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan, dan mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan