DUNIA

INDONESIA IKRAR SOKONG PENUH KEPENGERUSIAN ASEAN OLEH MALAYSIA - MENTERI LUAR

04/07/2024 07:57 PM

JAKARTA, 4 Julai (Bernama) -- Indonesia berjanji menyokong penuh Malaysia dalam peranannya selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, terutamanya dalam menangani isu Myanmar, menurut Menteri Luar Retno Marsudi.

Semasa perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan di Putrajaya pada Rabu, beliau menyatakan harapan bahawa Malaysia akan meneruskan pendekatan inklusif yang dilaksanakan oleh Indonesia semasa menjadi Pengerusi ASEAN tahun lepas.

“Kami membincangkan keadaan yang semakin merosot di Myanmar. Tiada sebarang kemajuan ke arah dialog inklusif,” katanya.

Retno berkata kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan pihak berkepentingan melalui dialog inklusif, memperluas bantuan kemanusiaan tanpa unsur politik dan mendapatkan sokongan antarabangsa untuk usaha kolektif ASEAN.

Mengenai isu Palestin, Marsudi menekankan kebimbangan dan komitmen bersama untuk menyokong kemerdekaan Palestin, sambil mengesahkan sokongan dua hala dan antarabangsa yang berterusan.

Menyentuh isu sempadan Malaysia-Indonesia, beliau mengalu-alukan penyelesaian rundingan untuk segmen darat di Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai, dengan rancangan untuk memformalkan perjanjian itu ke dalam memorandum persefahaman (MOU).

Beliau menegaskan bahawa proses teknikal untuk segmen Tiang Barat di Pulau Sebatik hingga ke AA2 berada di peringkat akhir, dengan kedua-dua pihak sedang menyediakan pelan lapangan untuk dilampirkan ke dalam MOU.

“Rundingan sedang berjalan untuk sempadan maritim di kawasan pasang surut dan jurang di Laut Sulawesi,” katanya, sambil menekankan pematuhan kepada Garis Panduan Bersama MOU untuk memastikan keselamatan nelayan.

Topik lain yang dibincangkan termasuk perlindungan warga Indonesia di Malaysia, meningkatkan akses pendidikan untuk anak-anak pekerja asing Indonesia, dan meningkatkan kerjasama untuk membanteras pemerdagangan manusia di seluruh ASEAN.

Semasa lawatannya, Marsudi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membincangkan persiapan untuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala ke-17 (JCBC) yang akan dihoskan oleh Indonesia tahun ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan