AM

LKAN: KERUGIAN TERKUMPUL DITANGGUNG MARA INC TURUN 3.8 PERATUS

04/07/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Jumlah kerugian terkumpul ditanggung MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) menurun 3.8 peratus daripada RM297.63 juta pada 2021 kepada RM286.30 juta pada 2022, menurut  Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024.

LKAN berkata ia disumbang oleh peningkatan prestasi kewangan kumpulan, apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM11.67 juta bagi tahun 2022.

“Prestasi kewangan yang baik ini disumbangkan antaranya oleh keuntungan nilai pelaburan hartanah yang direkodkan pada 2022,” menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Bagaimanapun LKAN mendapati di peringkat syarikat, MARA Inc merekodkan defisit pemegang saham bagi tempoh yang dinilai iaitu pada 2022 sebanyak RM115.73 juta, 2021 (RM114.06 juta) dan 2020 (RM66.82 juta).

Faktor utama berlakunya defisit pemegang saham ialah penjejasan nilai aset berkaitan pelaburan dalam syarikat subsidiari, baki terhutang antara kumpulan dan penghutang dagangan sekali gus menyaksikan peningkatan defisit menunjukkan tahap usaha berterusan syarikat yang semakin terjejas.

Analisis lanjut LKAN mendapati jumlah aset melebihi jumlah liabiliti bagi tiga tahun iaitu antara RM23.32 juta (8.7 peratus) hingga RM51.62 juta (20 peratus) namun jumlah liabiliti semasa adalah melebihi aset semasa dengan nisbah antara 0.11 hingga 0.13.

“Walaupun terdapat peningkatan prestasi kewangan dengan keuntungan sebelum cukai dan penurunan kerugian terkumpul pada tahun 2022, kedudukan kewangan Kumpulan MARA Inc adalah kurang stabil kerana berada dalam kedudukan defisit pemegang saham dan liabiliti semasa yang tinggi,” menurutnya.

LKAN juga mendapati bagi tempoh tahun kewangan 2020 hingga 2022, tiada dividen dibayar oleh MARA Inc kepada MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp).

Menurut laporan itu justifikasi diberikan MARA Inc yang tidak membayar dividen kepada MARA Corp bagi tempoh berkenaan adalah kerugian tahun semasa disebabkan impak pandemik COVID-19 dan kedudukan liabiti semasa bersih.

Sementara itu LKAN berkata MARA Inc hanya menyelesaikan RM9.1 juta (4.6 peratus) pinjaman daripada MARA daripada jumlah keseluruhan RM199.7 juta yang diperoleh pada tahun 2012, 2013 dan 2014 bagi tujuan projek pembangunan serta pembelian hartanah dalam dan luar negara.

LKAN menyatakan baki pinjaman berjumlah RM190.60 juta itu akan diselesaikan melalui pelaksanaan Pelan Rasionalisasi strategi Tahap 3 diluluskan Majlis MARA pada 15 Ogos 2022 melibatkan penstrukturan bayaran balik pinjaman yang menyebabkan pemindahan hartanah berjumlah RM174.24 juta kepada MARA.

Penstrukturan itu sekali gus mengurangkan hutang MARA Inc kepada RM16.36 juta dan baki pinjaman itu perlu diselesaikan melalui pendapatan operasi syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan