SUKAN

Kontinjen Negara Di Aug 2024 Pamer Aksi Terpuji, Bawa Pulang 38 Pingat Emas

07/07/2024 11:16 AM

Daripada Nurul Izzati Mansor

MALANG (Indonesia), 7 Julai (Bernama) -- Kontinjen negara menamatkan kempen di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 dengan aksi terpuji apabila membawa pulang 38 pingat emas selepas 11 hari berjuang bermula 26 Jun lepas.

Jumlah 38 pingat emas itu mengatasi sasaran awal 35 emas ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) namun masih jauh jika dibandingkan dengan pencapaian terbaik Malaysia pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand menyaksikan kontinjen negara meraih 49 emas, 83 perak dan 50 gangsa.

Momentum kutipan pingat juga sedikit perlahan apabila pingat emas ke-35 hanya diperoleh pada hari kedua terakhir saingan menerusi atlet karate, H Sureeya Shankar.

Tuan rumah, Indonesi, memanfaatkan sebaiknya peluang beraksi di laman sendiri untuk mengungguli carta kutipan pingat dengan 126 emas, 99 perak dan 71 gangsa diikuti Thailand 53-49-29 kedua dan Malaysia dengan 38 emas, 45 perak dan 60 gangsa untuk tempat ketiga keseluruhan.

Kem olahraga menjadi penyumbang pingat emas terbanyak dengan keseluruhan 13 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa diikuti kem renang yang melepasi sasaran tujuh emas dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 pingat gangsa. 

Skuad judo tidak kurang hebatnya apabila membutirkan tiga emas, tiga perak dan satu gangsa manakala kem memanah menyumbang dua pingat emas pada hari terakhir AUG 2024.

Ramalan sukan tempur iaitu karate, taekwondo dan pencak silat sebagai lubuk emas meleset apabila masing-masing menyumbang dua pingat emas, meskipun dibarisi beberapa atlet berprofil tinggi kali ini.

Hasrat kem badminton untuk membawa pulang empat emas juga tidak tercapai apabila hanya menjelmakan dua emas selain impian kem petanque yang mahu mengutip dua pingat emas lebur apabila terpaksa berpuas hati dengan satu emas. 

Skuad bola keranjang juga hambar dan terpaksa berpuas hati dengan satu pingat perak dalam acara 5x5 wanita dan dua gangsa dalam acara 3x3 lelaki dan wanita manakala sepak takraw menyumbang satu gangsa.

Sukan panjat tembok dan bola tampar yang tampil pada edisi 2024 kali ini, terpaksa akur apabila pulang dengan tangan kosong.

Ketua Kontinjen negara ke AUG 2024, Suhairi Ismail menarik nafas lega apabila sasaran 35 pingat emas itu berjaya dicapai kontinjen Malaysia yang mampu melepasi sasaran pada hari terakhir semalam.

“Kita terlepas beberapa acara seperti wushu kerana tidak menghantar atlet bagi acara berkenaan. Itu menyebabkan kita punya pingat emas sedikit perlahan, kita boleh lihat sebenarnya sukan yang dipertandingkan dan cabaran atlet di Indonesia sengit. 

“Pada 2026 kita jadi tuan rumah, pascanilai akan dilakukan supaya dapat memberi cabaran sebenar sebagai tuan rumah untuk mencipta prestasi cemerlang pada edisi seterusnya,” katanya kepada pemberita, semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan