EKONOMI

ASSAR UMUM DIVIDEN AKHIR 3.5 SEN SEUNIT

05/07/2024 06:18 PM

KUCHING, 5 Julai (Bernama) -- Amanah Saham Sarawak hari ini mengumumkan pengagihan dividen akhir sebanyak 3.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024.

Pengumuman dividen itu dibuat Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di sini, pada Jumaat.

“Pengagihan kali kedua bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 ini akan melibatkan pengagihan sebanyak RM16.39 juta kepada 57,542 pelabur, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 30 Jun, 2024.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pulangan dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 sebanyak 6.0 sen seunit, iaitu dividen interim 2.5 sen seunit ditambah dengan dividen akhir sebanyak 3.5 sen seunit dengan jumlah agihan keseluruhannya RM28.1 juta berbanding pendapatan bersih RM36.16 juta,” katanya pada majlis itu.

Pada 5 Januari lepas, ASSAR telah mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024.

Abang Johari berkata sejajar dengan perkembangan positif ekonomi dan iklim pelaburan lebih baik, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR telah meningkat secara konsisten kepada RM1.1262 pada 30 Jun, 2024, iaitu pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus berbanding RM1.0594 pada tahun kewangan sebelumnya.

“Sementara itu, jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 ialah RM40.84 juta. Setelah ditolak perbelanjaan sebanyak RM4.68 juta, pendapatan bersih Tabung ASSAR ialah sebanyak RM36.16 juta,” katanya.

ASSAR dilancarkan pada 25 Ogos, 1993 untuk memberi peluang kepada rakyat bumiputera di Sarawak menyertai pembangunan ekonomi negara melalui skim pelaburan kolektif di pasaran modal.

Setakat 30 Jun, 2024, jumlah unit ASSAR telah meningkat daripada 100 juta unit pada awal pelancarannya kepada 468.35 juta unit, dengan 57,542 pelabur. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan