SUKAN

AUG 2024: MUHAMMAD SYAFIQ TAMAT KEMARAU PINGAT EMAS ACARA KYORUGI

05/07/2024 06:06 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

MALANG (Indonesia), 5 Julai (Bernama) -- Jaguh taekwondo negara Muhammad Syafiq Zuber menamatkan kemarau pingat emas Malaysia selama 16 tahun dalam acara kyorugi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) apabila mengungguli kategori bawah 87 kilogram (-87kg) lelaki hari ini. 

Pada aksi final yang berlangsung di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya di sini, atlet berusia 24 tahun itu menumbangkan atlet tuan rumah Tubagus Maulana meskipun mengalami demam sejak beberapa hari lepas. 

“Sebenarnya ada tekanan beraksi hari ini tetapi berbekalkan pengalaman, saya buat yang terbaik dan mengikut arahan jurulatih, walaupun masih demam saya hanya fokus untuk menewaskan lawan. 

"Sangat bangga dan beruntung kerana dapat tamatkan penantian 16 tahun (pingat emas) dalam kyorugi. Apa yang lebih penting, kami dapat capai sasaran diletakkan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu seorang lagi atlet negara Fu Ceen Put Thai terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas ditumbangkan atlet Thailand Mahamad Sarawit 1-2 dalam kategori -58kg lelaki.

Bagi sukan karate, atlet wanita negara C. Shahmalarani terlepas peluang mempertahankan pingat emas -50kg wanita yang dimenangi dua tahun lepas di Ubon Ratchathani, Thailand apabila sekadar meraih gangsa.

Ini selepas pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu ditewaskan pencabar Thailand  Chanyanut Chippensuk 0-8 pada aksi separuh akhir sebelum Shahmalarani menewaskan rakan sepasukan  Yoshanaa Chelvam 8-0 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan