DUNIA

Indonesia Kutuk Serangan Udara Israel Ke Atas Sekolah Unrwa Di Gaza

08/07/2024 04:36 PM

JAKARTA, 8 Julai (Bernama) -- Indonesia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas sekolah Al-Jaouni yang dikendalikan oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Isnin menyifatkan serangan pada Sabtu itu sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.

“Israel terus melakukan kekejaman dan melanggar undang-undang antarabangsa, menyebabkan korban dalam kalangan orang awam terus meningkat,” menurut kementerian di akaun media sosial rasminya.

Kementerian itu turut mempersoalkan tindak balas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara yang menyokong Israel, serta menggesa tindakan tegas diambil terhadap apa yang disifatkan sebagai kekejaman berterusan.

Pegawai Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sekolah Al-Jaouni, yang menempatkan ribuan warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan