DUNIA

Niaga Hadapan Msm Dijangka Rendah Menjelang Pengeluaran Laporan Mpob

06/07/2024 10:21 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatat dagangan rendah minggu depan menjelang pengeluaran laporan tanaman utama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata MPOB akan mengeluarkan laporan penawaran dan permintaan minyak sawit pada 10 Julai, dan penggiat pasaran akan menunggu laporan berkenaan untuk mendapatkan pandangan yang jelas mengenai perdagangan tambahan.

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM3,920 satu tan dan RM4,080 satu tan dengan pasaran didagangkan tidak berubah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, penggiat pasaran akan memantau ulasan bekalan dan permintaan MPOB bagi Jun.

“Kami menganggarkan stok minyak sawit Malaysia pada akhir Jun meningkat 5.789 peratus kepada 1.854 juta tan berikutan penurunan pengeluaran sebanyak empat peratus dan penyusutan 10.7 peratus bagi eksport,” kata Anilkumar.

Tinjauan Bloomberg meramalkan stok akhir berjumlah 1.82 juta tan dengan penyusutan pengeluaran enam peratus dan 10 peratus penyusutan eksport, katanya sambil memaklumkan tinjauan Reuters turut menganggarkan stok akhir Jun meningkat kepada 1.83 juta tan dengan 10 peratus penyusutan eksport dan kerugian pengeluaran sebanyak lima peratus.

Anilkumar berkata pasaran sedang menunggu data pengeluaran daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia bagi minyak sawit untuk sebulan penuh yang dijangka dikeluarkan pertengahan bulan ini.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Julai 2024 meningkat RM112 kepada RM4,088 satu tan manakala Ogos 2024 dan Oktober 2024 masing-masing naik RM121 kepada RM4,053 satu tan dan RM4,026 satu tan.

Sementara itu, September 2024 menokok RM126 kepada RM4,042 satu tan, November 2024 menambah RM114 kepada RM4,017 satu tan dan Disember 2024 naik RM108 kepada RM4,019 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 328,205 lot daripada 287,750 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menambah kepada 233,507 kontrak daripada 203,691 kontrak minggu lepas.

Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan melonjak RM130 kepada RM4,130 satu tan pada Jumaat berbanding RM4,000 pada minggu terdahulu.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 8 Julai 2024, bersempena dengan cuti ganti Awal Muharam dan beroperasi semula pada Selasa 9 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan