AM

Orang Ramai Beratur Seawal 6 Pagi, Tukar Topi Keledar Di Reruai Jpj

06/07/2024 02:04 PM

KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Orang ramai sanggup beratur seawal 6 pagi di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan topi keledar secara percuma yang diedarkan kepada pengunjung pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini hari ini.

Pengarah JPJ Pahang Kamarul Iskandar Nordin berkata sambutan hari kedua penukaran topi keledar pada PMR itu amat menggalakkan kerana hanya mengambil masa lebih kurang satu jam untuk mengagihkan 750 topi keledar percuma.

“Reruai JPJ ini dibuka pukul 9 pagi dan pada 10.15 pagi kita sudah habis memberi topi keledar kepada orang ramai. Semalam, sebanyak 1,500 topi keledar diagihkan dengan mengambil masa lebih dua jam.

“Tujuan pemberian topi keledar ini adalah untuk memberi kesedaran dan advokasi kepada semua pembonceng dan penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang mempunyai standard dan mengikuti piawaian SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia),” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Pengarah Korporat dan Perancangan Strategik JPJ Burhan Mat Sum berkata pihaknya turut menjangkakan orang ramai akan berkumpul lebih awal untuk mendapatkan baki 750 topi keledar di reruai JPJ pada hari terakhir esok.

JPJ katanya, tidak meletakkan syarat yang ketat sebaliknya seseorang itu hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan warganegara dan membawa topi keledar lama untuk diganti dengan yang baharu.

“Insya-Allah, saya menjemput semua rakyat Pantai Timur untuk datang awal kerana peluang untuk mendapatkan topi keledar itu lebih tinggi kerana kami mengamalkan konsep first come first serve (siapa cepat dia yang dapat)," katanya. 

Sementara itu, pesara kerajaan Nor Ali Idris, 70, memuji kecekapan JPJ dalam mengendalikan program pemberian topi keledar itu. 

“Kalau kita lihat di sini, meskipun barisan (untuk mendapatkan topi keledar) itu panjang, prosesnya sangat cepat,” katanya yang beratur pada 9.20 pagi. 

Dalam pada itu, suri rumah M. Harini, 54, berkata tujuan sebenarnya datang ke PMR adalah untuk membeli barangan dapur pada Jualan Rahmah, namun dia turut mengambil kesempatan untuk menukar topi keledar di reruai itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan