AM

Kehadiran Pelancong Lepasi Sasaran, Melaka Di Landasan Tepat Anjur WTD2025

05/10/2024 11:29 AM

MELAKA, 5 Okt (Bernama) -- Kehadiran pelancong yang melepasi sasaran awal hampir 10 juta setakat hujung September lalu berbanding sasaran 8.7 juta, membuktikan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024  (TMM2024) berada di landasan terbaik untuk meletakkan Melaka sebagai tuan rumah forum Hari Pelancongan Dunia (World Tourism Day- WTD) 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat perangkaan awal menunjukkan hampir 80 peratus kehadiran dicatatkan oleh pelancong tempatan manakala selebihnya disumbangkan oleh pelancong luar negara.

"Untuk itu, kita akan memperbanyakkan lagi kehadiran pelancong luar selepas Melaka menerima watikah sebagai negeri yang menjadi tuan rumah kepada WTD yang berlangsung pada September 2025 kelak. Acara ini akan membawa delegasi seramai 155 orang dari seluruh dunia yang diketuai oleh menteri pelancongan negara masing-masing,” katanya.

"Kita harap minggu tersebut akan menjadikan Melaka sebagai tumpuan dunia, memandangkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menilai Melaka mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Ini akan menjadi platform bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia melalui Melaka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan (flag off) pertandingan mencari harta karun 'Melaka Explorace 2024' anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena TMM2024 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) Arul Rajoo Durar Raj.

Mengulas mengenai Explorace Melaka 2024 yang disertai lebih 300 peserta dengan 75 kenderaan, Ab Rauf berkata program sebegini dapat merapatkan silaturahim antara pengamal media dan dalam masa yang sama memberi peluang peserta meneroka sejarah dan khazanah unik yang terdapat di Melaka.

"Melaka ini penuh dengan sejarah dan perlu diteroka serta dikareografikan untuk mencungkil, membongkar rahsia-rahsia ini menerusi pertandingan mencari harta karun seperti yang dianjurkan oleh Bernama ini.

"Explorace Melaka 2024 yang menerapkan elemen pendidikan kepada serta ini juga menjadi satu daripada medium terbaik mempromosikan Melaka. Sebelum ini, promosi dilakukan menerusi pelbagai platform yang sentiasa ditambah baik, memandangkan banyak khazanah bernilai tinggi yang boleh diteroka oleh peserta sepanjang pertandingan berlangsung," katanya.

Melaka Explorace 2024 yang julung kali diadakan di Melaka akan membawa peserta menjelajah ketiga-tiga daerah di Melaka iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah. Peserta dikehendaki menyempurnakan misi yang diberikan secara berjalan kaki, berkenderaan, menaiki beca dan Melaka River Cruise.

Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik di media sosial sepanjang pertandingan, sebagai nilai tambah untuk meningkatkan peluang memenangi hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 bagi kategori Terbuka, manakala RM5,000 disediakan bagi kategori Media dan agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan