EKONOMI

Kpk Kumpul Data Sebelum Cadangan Semakan Semula Wpl Ke Atas Minyak Sawit Dihantar Kepada Mof - Johari

06/07/2024 03:39 PM

TAIPING, 6 Julai (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengumpul data berkaitan kos yang terlibat daripada semua pemain industri minyak sawit di negara ini sebelum cadangan semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata cadangan tersebut akan dihantar kepada MOF sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

“Kita buat satu purata dan melihat sama ada kos untuk mengeluarkan satu tan minyak sawit telah mencecah RM3,000. Jika harga pasaran CPO (minyak sawit mentah) tidak mencecah RM3,500, takkan kita nak panggil WPL?

“Sekarang kos dah meningkat. Sebelum bajet (cadangan diserahkan kepada MOF),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang Kali Ke-36 Tahun 2024 di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, Johari berkata harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara-negara pengeluar lain jika WPL ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Sebelum ini, KPK telah meneliti isu levi keuntungan luar biasa yang dibangkitkan oleh penggiat industri selain turut mengadakan perundingan dengan pihak berkaitan.

Kadar WPL sebanyak 3.0 peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan