AM

Gajah Jinak Pian, Rambai Curi Tumpuan Pengunjung Program Madani Rakyat

06/07/2024 05:11 PM

KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Dua ekor gajah jinak Pian dan Rambai mencuri perhatian pengunjung di Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang sedang berlangsung di sini hari ini.

Pian dan Rambai yang masing-masing berumur 50 dan 41 tahun dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, sudah menjalani latihan khusus untuk membiasakan diri dengan pengunjung sekali gus memberi haiwan itu peluang menyinar menjadi haiwan kebanggaan negeri Pahang.

Ketua pusat itu Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata seramai 15 petugas dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ditugaskan untuk memastikan interaksi haiwan berkenaan dengan pengunjung berjalan lancar sepanjang program itu.

Beliau berkata pengunjung bukan sahaja berpeluang berinteraksi dengan gajah betina itu malah boleh beri haiwan berkenaan makan tetapi hanya makanan yang disediakan oleh Perhilitan bagi mengelakkan gajah mengalami keracunan makanan.

“Sambutan orang ramai amat menggalakkan. Kebanyakan pengunjung datang bersama anak-anak masing-masing jadi Pian dan Rambai sering dibelai serta diberikan makanan,” katanya kepada Bernama.

Mikhail yang berusia tiga tahun jelas teruja apabila melihat gajah berkenaan.

“Ini kali pertama dia melihat gajah secara dekat. Selalunya hanya melihat di hadapan skrin atau dalam bentuk animasi,” kata bapa Mikhail, Huzairi Idris, 33.

Pesara Salmah Suhaimi, 66, berkata pameran gajah itu satu inisiatif yang baik untuk mendidik orang ramai mengenai hidupan liar.

Beliau berpendapat program percuma seperti ini menggalakkan kehadiran lebih ramai pengunjung kerana lazimnya orang ramai perlu membayar untuk melihat hidupan liar seperti gajah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan