AM

Serangan Gajah: Perhilitan Terus Pantau Kampung Basung

05/10/2024 08:07 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akan meneruskan pemantauan di Kampung Basung di Kuala Berang bagi mengesan gajah liar yang menyebabkan kematian warga emas hari ini.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata ia susulan kematian Musa Ahmad, 65, disahkan polis sebagai berpunca akibat diserang sekumpulan gajah liar pagi tadi.

Beliau berkata pemantauan pihaknya di kampung itu bermula sejak minggu lepas setelah menerima laporan berkaitan kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di situ. 

"Sebenarnya Perhilitan Hulu Terengganu turut terlibat dalam pencarian Musa kerana kawasan itu memang kawasan ada gajah, tetapi pada masa itu belum disahkan lagi akibat serangan gajah. 

"Bagaimanapun, selepas disahkan mangsa meninggal dunia akibat diserang haiwan itu, maka kita teruskan operasi pemantauan sebelum ambil tindakan sama ada untuk tembak halau atau tangkap pindah sekiranya berjaya mengesan gajah berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Loo menasihati penduduk agar segera menjauhkan diri dan tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak mamalia berkenaan.

“Segera laporkan lokasi penemuan gajah kerana ia akan memudahkan Perhilitan menganggarkan keberadaan haiwan itu bagi tindakan selanjutnya. 

"Jangan masuk ke kebun secara sendirian. Selain itu, jangan biarkan kebun anda semak dan terbiar kerana haiwan liar akan mudah menyorok dalam semak-samun," katanya. 

Beliau berkata pihaknya telah berjumpa dengan waris Musa dan memaklumkan mengenai Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas bagi meringankan beban mereka sekeluarga. 

Loo turut memaklumkan pihaknya telah melakukan lima operasi tangkap pindah gajah yang mengganggu penempatan penduduk di seluruh Terengganu bermula Januari hingga bulan lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan