AM

PREBET MUHAMMAD SYAFIQ DITEMUKAN SELAMAT

06/07/2024 05:28 PM

LIMBANG, 6 Julai (Bernama) -- Seorang anggota tentera daripada pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di sini pada 18 Jun lepas, ditemukan selamat pagi tadi.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu ditemukan oleh kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.29 pagi selepas 17 hari SAR dilancarkan.

Kenyataan itu memaklumkan Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi serta telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi penemuan.

“Prebet Muhammad Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian.

“Keluarga Prebet Muhammad Syafiq telah dihubungi pihak TDM dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat. Semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM,” menurut kenyataan itu hari ini.

Prebet Muhammad Syafiq ditugaskan sebagai pengiring penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia–Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong ke Bebuloh, Limbang bermula 11 Jun hingga 2 Sept 2024 yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.

TDM merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat dalam operasi terbabit terutama kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan JUPEM atas kerjasama serta komitmen diberikan sehingga anggota tentera itu ditemukan selamat.

TDM turut mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan dihulurkan sepanjang operasi SAR dijalankan.

Kenyataan itu menyatakan TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan