POLITIK

Dap Mengalu-alukan Kesediaan Bn Kerjasama Dengan Ph

06/07/2024 08:17 PM

SEREMBAN, 6 Julai (Bernama) -- DAP mengalu-alukan kesediaan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata ini menunjukkan komitmen tinggi Pengerusi BN  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan kestabilan politik dan menjamin kemakmuran negara.

“Perbincangan selalu ada tetapi belum ada perbincangan rasmi, kita mengalu-alukan kenyataan disampaikan, ini menunjukkan komitmen Datuk Seri Ahmad Zahid bersama pimpinan BN untuk memperkukuh  Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di sini hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata pendirian Ahmad Zahid menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dalam kerajaan hari ini dan berharap kerjasama itu berterusan dengan baik tanpa timbul syak wasangka.

“Kerjasama PH-BN dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) menunjukkan satu persefahaman yang baik, itu cukup membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini memang teguh,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16, namun BN dan PH akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan