AM

Bernama Sedia Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri Promosi Pelancongan

05/10/2024 12:58 PM

MELAKA, 5 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sentiasa terbuka dan mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam membantu memperkenalkan destinasi pelancongan di Melaka mahupun di negeri lain menerusi penganjuran pelbagai program menarik dan unik. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata ini termasuk menganjurkan pertandingan mencari harta karun seperti “Melaka Explorace 2024” pada hari ini yang diadakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Beliau berkata program pencarian harta karun antara platform terbaik dalam mempromosikan dan memperkenalkan sesebuah kawasan pelancongan lebih-lebih lagi Bernama mempunyai pengalaman menganjurkan program sebegitu sejak 1990-an lagi.

“Jadi kita berharap pertandingan julang kali bersama kerajaan Melaka ini akan menghasilkan kejayaan dan peserta dapat meneroka sejarah serta khazanah unik di segenap pelosok negeri ini berdasarkan soalan-soalan yang disediakan.

"Lebih menarik ‘harta karun’ yang akan ditemui peserta nanti akan disumbangkan kepada sebuah rumah anak yatim di Jasin," katanya ketika hadir di majlis pelepasan peserta Melaka Explorace 2024 anjuran kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Bernama di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini hari ini. 

Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) Arul Rajoo Durar Raj.

Nur-ul Afida berkata pihaknya bersyukur dengan kepercayaan kerajaan negeri melalui Ketua Menterinya kepada Bernama dan ia menjadi kekuatan kepada agensi berita itu untuk memastikan acara berjalan lancar serta memenuhi apa yang diinginkan. 

“Seperti mana yang dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Insya-Allah akan ada kerjasama selanjutnya pada tahun hadapan," katanya. 

Mengulas lanjut mengenai Melaka Explorace 2024, beliau berkata pertandingan itu bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim dengan peserta seronok menjawab soalan dan menyelesaikan misi yang dikehendaki, malah mereka juga berpeluang melakukan amal jariah.

Pertandingan disertai lebih 300 peserta dengan 70 kenderaan yang akan menjelajah tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah sambil menyempurnakan misi yang diberikan secara berjalan kaki, berkenderaan serta menaiki beca dan Melaka River Cruise. 

Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik di media sosial sepanjang pertandingan sebagai nilai tambah untuk merebut hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 bagi Kategori Terbuka manakala RM5,000 masing-masing bagi kategori Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan