AM

PM Ajak Rakyat Terus Istiqamah Dalam Kebaikan Sempena Maal Hijrah 1446

06/07/2024 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat  membulatkan tekad untuk terus beristiqamah dalam kebaikan dan berhijrah daripada yang mungkar kepada yang makruf.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1446 yang dimuat naik di laman Facebook beliau, Anwar juga menyeru rakyat berhijrah daripada kemelampauan kepada kesederhanaan dan daripada keangkuhan kepada ketawadukan dan kesyukuran.

Perdana Menteri berkata perjuangan bagi meraih cita-cita yang tinggi turut menuntut pengorbanan.

“Tatkala kita mengenang peristiwa ulung Hijratur Rasul dan keberhasilan umat mendirikan Kota Madinah, harus jua kita mengingat episod derita dan sengsara yang telah menyelubungi umat selama bertahun lamanya.

“Namun baginda tetap mendidik umat agar bersabar dan yakin dengan janji-Nya. Maka dari kekuatan rohani itu terbitnya dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua.

“Sesebuah daulah akan sentiasa dalam berkat kejayaan (falah) selagi mana dipaculkan akhlak dan nilai-nilai yang mulia dalam kehidupan masyarakatnya. Semoga Allah SWT memberkati tiap langkah dan ikhtiar kita, kullu ‘am wa antum bi khayr,” kata beliau.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bertema 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI' akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke majlis berkenaan

Beliau berkata Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut dijadualkan hadir bagi menyemarakkan majlis tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan