AM

Teladani Rasulullah Saw, Utamakan Persaudaraan -tuanku Muhriz

06/07/2024 10:08 PM

SEREMBAN, 6 Julai (Bernama) -- Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah rakyat di negeri ini perlu meneladani prinsip Rasulullah SAW yang mengutamakan hubungan persaudaraan dan mementingkan elemen kasih sayang.

Baginda bertitah Islam adalah agama harmoni dan Rasulullah SAW, Nabi Muhammad sentiasa mempamerkan sifat saling mengasihi sesama insan, menghormati perbezaan pegangan agama dan amalan budaya seluruh umat.

Tuanku Muhriz bertitah Rasulullah juga memilih menggunakan pendekatan diplomasi dalam menyelesaikan konflik dan percanggahan pendapat yang berlaku dalam kalangan masyarakat pada ketika itu. 

"Inilah contoh teladan terbaik perlu digarap oleh semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan bagi memastikan benih perpaduan dan kesatuan dalam kalangan pemimpin dan rakyat terus subur dan kekal utuh seterusnya menjamin kemakmuran dan keharmonian negeri bertuah ini," titah baginda pada sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Negeri di sini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tuanku Muhriz bertitah peristiwa hijrah telah mengangkat martabat dan tamadun Islam serta umatnya, maka seluruh umat juga perlu melakukan penghijrahan ke arah pembinaan masyarakat berkualiti yang hidup berlandaskan nilai murni dan amalan budi pekerti mulia.

Baginda turut mengingatkan semua pihak di negeri ini wajib menghormati Islam sebagai agama negara tanpa menafikan keadilan terhadap golongan lain. 

"Beta berdoa semoga Allah SWT melimpahi kemakmuran kepada Negeri Sembilan serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan keharmonian berkekalan," titah Tuanku Muhriz.

Terdahulu bacaan Doa Akhir Tahun 1445 disempurnakan oleh Mufti kerajaan negeri Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.

Tuanku Muhriz berkenan menyampaikan Anugerah Maal Hijrah peringkat negeri kepada Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, 73, yang berasal dari Jempol.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan