AM

Nicole Ibarat 'Duta Bergerak' Promosi Busana Tradisional

04/10/2024 02:40 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 4 Okt (Bernama) -- Melihat susuk seorang wanita anggun berkebaya pasti ramai yang tidak menduga si pemakai busana tradisional ini sebenarnya berbangsa Cina.

Sering tampil berkebaya dan berbaju kurung bercorak klasik terutama ketika menghadiri acara rasmi, wanita berusia 53 tahun itu acap kali mencuri perhatian malah tidak keterlaluan jika beliau diangkat sebagai "duta bergerak" mempromosikan pakaian tradisional Melayu terutama busana warisan Negeri Sembilan.

Lebih menarik, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata beliau pencinta busana tradisional Melayu dan identiti Melayu sememangnya sudah sebati dalam dirinya.

Video beliau mengenakan Kebaya Setengah Tiang di acara rasmi kerajaan negeri sering tular di laman sosial dan menarik perhatian sehingga mencetuskan minat orang ramai terhadap busana tradisional.

“Dalam keluarga saya pun, saya jarang pakai Cheongsam walaupun ia pakaian tradisional Cina. Saya selalu katakan bahawa Kebaya Setengah Tiang (baju tradisional Negeri Sembilan) itu merupakan baju Malaysia, tak kira bangsa semua pakai.

“Saya mempunyai banyak koleksi baju kurung atau kebaya dalam almari pakaian di rumah dan memang lebih selesa berbusana itu. Saya mempunyai tiga tukang jahit sendiri sejak sekian lama dan memang tahu ukuran dan selera saya,” katanya kepada Bernama.

Anak jati Seremban ini berkata meskipun begitu mencintai busana Melayu namun masih menerapkan elemen dan ciri bangsa lain dalam pemakaian sebagai lambang ciri-ciri masyarakat majmuk di negara ini.

“Sebagai contoh, Baju Kebaya Setengah Tiang atau baju kurung saya, ada menggunakan kain jenis sari atau penggunaan warna seperti merah atau kuning yang menunjukkan ciri-ciri kecinaan selain menggunakan butang 'cheongsam',” katanya sambil menambah mempunyai puluhan koleksi busana tradisional itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata pemakaian busana Melayu terutama busana warisan Negeri Sembilan menjadi sebahagian usaha membudayakan identiti negeri adat Perpatih itu.

Pemimpin juga mempunyai tanggungjawab dan perlu menunjukkan teladan dalam memartabatkan identiti dan warisan negeri sekali gus berupaya mempromosikan identiti Malaysia di pentas dunia.

“Saya ingin membudayakan identiti ini, kalau sekadar kita berucap mengenai kepentingan sahaja ia bukan pembudayaan, ia perlu dipakai dan tunjukkan, biar orang tanya ini apa kita boleh jawab ini kebaya setengah tiang, ini bunga lado, busana Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Nancy Chew See Khon, 60, yang sudah lapan tahun menjadi tukang jahit untuk pelbagai busana Nicole terutama baju kurung dan kebaya berkata setiap pakaian yang dijahitnya tanpa merujuk mana-mana rekaan sebaliknya dihasilkan berdasarkan pengalaman.

“Saya kenal Nicole sudah lama, jadi saya memang tahu apa yang beliau mahukan, rekaan, saiz dan sebagainya. Kalau dia kata mahu pakai cepat, saya akan sedaya upaya siapkan, ada juga kaum Cina lain yang minta saya jahitkan baju kurung untuk mereka.

“Selain itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud sebelum ini juga pernah tempah dengan saya selain wakil rakyat yang lain,” katanya yang sudah lebih 40 tahun menjadi tukang jahit. 

Pengerusi Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan Alias Zakaria pula berkata Nicole  antara wakil rakyat yang sering ke hadapan dari segi pemakaian busana yang melambangkan identiti masyarakat Malaysia sekali gus turut menggalakkan orang lain menggayakan pakaian itu. 

“Yang Berhormat juga pernah merujuk saya berkaitan Baju Kebaya Setengah Tiang yang mahu dibuat ... beliau kalau ke acara rasmi memang pakai kebaya sama ada jenis moden atau berpesak, banyak koleksi, sampaikan staf dia pun ikut sama pakai baju kurung.

“Baguskan ... staf ikut cara pemakaian, pengaruh yang dibawa, secara tak langsung ia turut mempengaruhi masyaraka terutama generasi muda akan lebih mencintai busana tradisional dan pada masa sama kita dapat memelihara busana ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan