AM

334 Usahawan Mikro Pahang Terima Geran I-tekad Berjumlah Rm1.67 Juta

07/07/2024 10:27 AM

KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak 334 usahawan mikro negeri ini terpilih menerima geran i-TEKAD berjumlah lebih RM1 juta bagi membantu mereka membeli aset untuk mengembangkan perniagaan.

Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad Zaharuddin Alias berkata geran berjumlah RM1.67 juta telah dikeluarkan bagi membantu usahawan kumpulan B40 dan asnaf sehingga mereka berjaya dalam perniagaan dan menjadi antara pengeluar zakat.

 "Pemilihan peserta terdiri daripada sektor makanan dan minuman, usahawan GIG  dan usahawan Agro. 

“Jumlah maksimum geran ini adalah sebanyak RM5,000 untuk tujuan membeli peralatan bagi membolehkan mereka menguruskan perniagaan dengan lebih baik di samping mendapat latihan yang dibayar oleh Bank Muamalat," katanya pada Majlis penyerahan sijil geran i-TEKAD Bank Muamalat kepada usahawan mikro terpilih di Karnival Celik Kewangan di sini, semalam.

Beliau berkata program i-TEKAD Bank Muamalat telah membantu 2,274 usahawan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM20.6 juta sejak 2020 hingga 2023.

Sementara itu, seorang penerima geran i-TEKAD Norfarhana Abd Mubin, 36, berkata pemberian itu sangat membantu untuk dia mengembangkan lagi perniagaan kedai haiwan yang diceburi sejak  2016.

“Sebelum ini,  kedai haiwan saya hanya melibatkan pengurusan kucing, hotel dan spa. Melalui bantuan ini, saya berhasrat untuk meningkatkan lagi perkhidmatan perniagaan dengan membuka kafe pula.

“Melalui geran ini, dapat membantu saya membeli mesin yang diperlukan untuk membuka kafe," katanya.

Seorang lagi usahawan yang turut menerima geran, Mohamad Razarul Airifin Abdul Razak, 35, berkata dia dapat memberi sebuah mesin berharga RM5,000 seperti diidamkannya selama ini untuk perusahaan produk krafnya sekali gus dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pendapatan.

Selain geran i-TEKAD,  penerima turut diberi latihan berkaitan pengurusan, pasaran dan kemahiran dalam tempoh enam bulan.

-- BERNAMA    

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan