AM

Hari Terakhir Rebut Tawaran Menarik Di Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur

07/07/2024 09:30 AM

KUANTAN, 7 Julai (Bernama) -- Hari ketiga Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini  menjadi medan terakhir untuk orang ramai khususnya mereka yang tinggal di pantai timur merebut pelbagai tawaran istimewa selain aktiviti menarik disediakan sebelum menutup tirainya hari ini.

Hari ketiga PMR itu dimulakan dengan aktiviti larian separuh maraton merangkumi kategori 5 kilometer (km), 10km dan 21km seawal 4 pagi di sekitar kawasan bandar raya Kuantan di sini. 

Tumpuan hari ini pastinya terarah kepada program pertukaran topi keledar lama di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berbaki 750 unit, selain orang ramai juga berpeluang memiliki anak pokok yang akan diberikan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. 

Bagi yang mempunyai saman trafik, hari ini juga peluang akhir untuk mendapatkan diskaun sehingga 50 peratus di kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuka sejak dua hari lepas. 

Program yang berlangsung sejak Jumaat lepas itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti Pertandingan E-Sport, Pertandingan Menebar Roti Canai Antara Kampung, Pertandingan Teh Tarik Berirama, Pertandingan Tulisan Khas dan Pertandingan Memasak Ikan Patin dibawa khas oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Pentas Utama. 

Orang ramai juga boleh mengikuti aktiviti di Pentas Reruai seperti Aero Dance dan Demonstrasi CPR (resusitasi kardiopulmonari) oleh Kementerian Kesihatan dan Eksplorasi Angkasa: From Earth to Universe bersama Planet VR serta Sains Silap Mata Warna Warni Kehidupan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Program MADANI Rakyat Zon Timur merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), program kali ini turut mendapat kerjasama strategik KKDW dan kerajaan Pahang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan