AM

Maal Hijrah: Umat Islam Perlu Tekad Bersama-sama Bangunkan Negara Bertunjang Semangat Al-falah

07/07/2024 12:49 PM

PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Umat Islam perlu bertekad bersama-sama membangunkan negara berasaskan nilai Islam dengan bertunjangkan semangat Al-Falah (kejayaan), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata ia bertepatan dengan tema Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ yang turut menjadi asas penghayatan majlis sambutan tahun baharu kalendar Islam itu.

“Cukup-cukuplah kita berseteru sesama sendiri. Ia amat merugikan agama dan negara. Umpama yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang.

“Segala kesumat kebencian perlu dileraikan dengan nilai rahmah dan kasih sayang,” katanya dalam sembah ucapan menjunjung kasih pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Mohd Na’im turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama memikul tanggungjawab mengekalkan keharmonian negara dengan berpandukan Fiqh Ta’ayush (fiqh kewujudan bersama).

“Usahlah sentimen keagamaan dan perkauman dijadikan alat untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu,” katanya.

Beliau berkata semangat Maal Hijrah menuntut umat Islam untuk membuka lembaran baharu dan bangkit menguasai pelbagai disiplin ilmu serta kepakaran selain perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi memajukan daya saing yang berkemahiran tinggi. 

“Umat Islam tidak boleh ketinggalan di belakang daripada menguasai bidang keilmuan demi memakmurkan negara,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada umat Islam dan mahu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dijadikan sebagai iktibar dalam meningkatkan iltizam untuk terus berusaha bersungguh-sungguh demi melaksanakan agenda Al-Falah bagi memacu Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan