AM

Harimau Belang Mati Dilanggar Kereta Diawet

07/07/2024 01:18 PM

IPOH, 7 Julai (Bernama) -- Karkas harimau belang jantan yang dipercayai mati dilanggar sebuah kereta di Kilometer 314, Leburaya Utara Selatan arah utara dekat Tapah semalam, akan dibawa ke Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Bukit Rengit, Pahang untuk tujuan pengawetan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata buat masa ini karkas haiwan pemangsa seberat 120 kilogram (kg) itu masih berada di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai bagi proses penyimpanan.

“Pengawetan karkas ini hanya boleh dilaksanakan di institut biodervisiti tersebut disebabkan hanya di sana mempunyai tenaga atau kepakaran khusus untuk proses itu.

“Kebiasaannya proses pengawetan ini akan mengambil masa agak lama kerana ia perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan spesimen yang diawet, kekal cantik dan tidak rosak bagi tempoh jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, dilaporkan karkas harimau belang berkenaan dijumpai dalam saliran longkang di tepi lebuh raya berkenaan sekitar jam 5.45 pagi, selepas dilanggar sebuah kereta jenis Nissan Juke dipandu seorang lelaki.

Pada 9 Nov lepas, kejadian seumpama itu turut menimpa seekor harimau jantan yang mati selepas dilanggar sebuah treler di KM 303.4 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Gua Tempurung, Gopeng.

Yusoff berkata terdapat kesan luka dan calar yang ditemukan pada bahagian sebelah kiri badan harimau berkenaan selepas proses pengecaman dilakukan pihaknya.

“Luka dan calar pada badan harimau itu kemungkinan berlaku disebabkan mungkin terkena perangkap yang dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya mempunyai bukti atau maklumat berhubung sebarang kejadian membabitkan haiwan liar di negeri ini.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan