DUNIA

Mali, Burkina Faso Dan Niger Tubuh Konfederasi Sahel

07/07/2024 01:38 PM

JOHANNESBURG, 7 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pemimpin tentera di Mali, Burkina Faso dan Niger mengadakan sidang kemuncak pertama mereka pada Sabtu di Niamey, Niger serta mengumumkan pembentukan konfederasi tiga negara Sahel.

Pada sidang kemuncak pertama sejak rampasan kuasa tentera, ketiga-tiga pemimpin itu mengeluarkan kenyataan bersama bagi meratifikasi perjanjian menubuhkan konfederasi itu, lapor Agensi Anadolu.

“Sidang kemuncak ini merupakan langkah penting untuk masa depan kita.

“Bersama-sama, kita akan mengukuhkan asas kemerdekaan sebenar, menjamin keamanan dan pembangunan mampan melalui penubuhan Konfederasi 'Perikatan Negara-Negara Sahel',” kata pemimpin Burkina Faso, Kapten Ibrahim Traore di X.

Sidang kemuncak ini juga menjelaskan niat ketiga-tiga negara itu untuk keluar dari Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS).

Mereka pernah mengumumkan perkara itu pada awal tahun ini meskipun terdapat usaha-usaha oleh blok berkenaan untuk memperbaiki hubungan.

Hubungan antara tiga negara Sahel dengan ECOWAS merosot selepas Jeneral Abdourahamane Tiani mengambil alih kuasa dari Presiden Mohamed Bazoum yang dipilih secara demokrasi di Niger pada Julai tahun lalu.

ECOWAS mengenakan sekatan ke atas Niger dan mengancam campur tangan hingga menimbulkan kemarahan ketiga-tiga negara itu.

“Perikatan Negara-Negara Sahel (AES) memiliki potensi semula jadi yang besar jika dieksploitasi dengan baik, akan menjamin masa depan yang lebih baik untuk rakyat Niger, Mali dan Burkina Faso,” kata Traore.

Ketiga-tiga negara, dengan gabungan populasi 72 juta terjejas akibat ketidakstabilan yang disebabkan oleh kumpulan militan.

Mereka dijangka bekerjasama dalam isu keselamatan dan memperkukuh hubungan ekonomi.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan