AM

Kesedar, Ketengah Tarik Perhatian Dengan Persembahan Kebudayaan Di PMr Zon Timur

07/07/2024 02:47 PM

KUANTAN, 7 Julai (Bernama) -- Keunikan persembahan seni, budaya dan warisan negeri Kelantan serta Terengganu menyemarakkan kemeriahan Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini dengan kedua-duanya digabungkan di bawah satu bumbung.

Lebih menarik perhatian apabila reruai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) saling bersilih ganti menyajikan penonton dengan persembahan kebudayaan negeri masing-masing.

Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KESEDAR Mohd Fadhly Ab Manaf berkata agensi itu membawakan empat persembahan kebudayaan Kelantan iaitu dikir barat, gasing terbang, rebana ubi dan tarian tradisional.

"Kami sangat teruja sekali kerana ini kali pertama KESEDAR membuat promosi di Kuantan dan setiap kali persembahan, kami dikerumuni ramai penonton untuk melihat seni dan budaya Kelantan yang dipertontonkan," katanya kepada Bernama.

Mohd Fadhly berkata pengunjung PMR Zon Timur juga berpeluang mengikuti pameran gasing, cara pembuatan wau dan promosi pelancongan desa oleh Kesedar Hotel Travel & Tours Sdn Bhd.

Sementara itu, KETENGAH pula menampilkan persembahan gamelan dan tarian tradisional dengan lagu-lagu seperti Patendu Patende, Tikar Seludang, Watimang Landak dan Joget To Je Towok.

Pengurus Ekonomi dan Usahawan KETENGAH Mohd Faiq Mohd Abd Majid berkata pelbagai aktiviti menarik lain turut dijalankan seperti permainan congkak, melukis batik dan demonstrasi anyaman mengkuang.

Beliau berkata pengunjung turut berpeluang menerokai Tasik kenyir menggunakan teknologi realiti maya (virtual reality) bagi memberi pengalaman melihat santuari kelah, taman herba dan rumah bot di tasik berkenaan.

"Kami turut mempromosikan Desa MADANI Ketengah dengan membawa produk usahawan desa seperti anyaman mengkuang, batik dan makanan tradisional. Ada juga lembah makanan bagi mempromosikan produk usahawan KETENGAH seperti pisang, cendawan dan lada hitam.

"Pengunjung memang tidak putus-putus datang walaupun hari ini cuaca mendung dan hujan renyai pada sebelah pagi tadi tetapi ramai yang menyertai aktiviti yang kami jalankan di sini," katanya.

PMR 2024 Zon Timur yang berlangsung sejak Jumaat lepas berakhir hari ini. Acara ini kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), program kali ini turut mendapat kerjasama strategik KKDW dan kerajaan Pahang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan