AM

Berhati-hati Tuntut Ilmu Di Media Sosial, Semak Kesahihan Dan Sumber - Hassan Ahmad

07/07/2024 04:20 PM

PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Umat Islam dinasihatkan agar mengambil langkah berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dengan menyemak kesahihan dan sumber ilmu berkenaan.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1446H/ 2024 Datuk Seri Hassan Ahmad berkata langkah itu perlu bagi mengelak penerimaan ilmu daripada sumber tidak dipercayai dan boleh menimbulkan keraguan.

“Saya setuju (menjunjung kasih) titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Sumber ilmu ini perlu diambil serius. 

“Sekarang ini macam-macam sumber mereka letak (di media sosial), sebab itu kita kena pastikan (ilmu agama) yang kita ambil itu ialah sumber diyakini dan sahih,” kata bekas Mufti Pulau Pinang itu pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis sambutan itu dan mengurniakan anugerah berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada tokoh berkenaan.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff. 

Menyentuh titah Seri Paduka Baginda mengenai sikap keterlaluan terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama sehingga mencetus api perbalahan, beliau berkata titah itu perlu diambil serius oleh setiap rakyat agar tidak berlaku perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya di negara ini.

“Titah Sultan Ibrahim tadi memang bertepatan dengan keadaan semasa. Jangan kita cuba memecah- belahkan masyarakat,” kata anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang yang berusia 82 tahun itu.

Berkongsi perasaan setelah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah, Hassan menzahirkan rasa syukur kerana usahanya selama ini dihargai.

“Syukur kepada Allah yang telah ilhamkan kerajaan untuk mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun ini kepada saya walaupun sumbangan yang saya beri mungkin tidak setimpal dengan anugerah yang diterima,” katanya yang sebelum ini menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1433H/2012M.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyidddin Ali Al-Qaradaghi yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa berkata beliau akan terus menyumbang kepada Malaysia dalam pelbagai aspek terutama dari segi pembangunan ekonomi dan kewangan Islam.

Sheikh Ali Al-Qaradaghi yang juga tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam serta menjadi rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa adalah antara individu terawal terbabit dalam terbitan sukuk di Malaysia.

“Saya bersedia untuk memberikan perkhidmatan ilmu kepada rakyat dan negara Malaysia… antaranya projek berkaitan ekonomi, bermula dengan ilmu, sistem dan penganalisaan ekonomi.

“Saya yakin dengan kepimpinan kerajaan Malaysia sekarang ni mampu mengeluarkan satu model ekonomi Islam di zaman ini, apatah lagi perdana menteri seorang yang mendokong ekonomi Islam,” katanya.

Sheikh Ali Al-Qaradaghi yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama lapan hari bermula Jumaat lepas berkata beliau juga berhasrat mewujudkan satu gagasan fekah keseimbangan di Malaysia  untuk membentuk satu pemikiran dinamik dan inovatif.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan