AM

Pelbagai Pengisian Sempena Sambutan Maal Hijrah Di Enam Negeri

07/07/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M di enam negeri hari ini diisi dengan pelbagai program termasuk ceramah, bacaan ayat suci al-Quran dan penyampaian anugerah kepada individu khususnya yang banyak mencurah jasa kepada agama dan negara. 

Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang.

Majlis yang diadakan di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan itu dihadiri hampir 1,000 orang turut mengumumkan bekas Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Abdul Ghani L. Sulaiman sebagai tokoh Maal Hijrah dan membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM10,000.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda menyeru kepada semua terutama generasi muda menggunakan platform digital dengan penuh hikmah selain memanfaatkan medium itu untuk menyebarkan kata-kata membina yang memperkuatkan lagi tali persaudaraan, bukan melonggarkan ikatan ukhuwah sesama insan. 

"Jadilah contoh yang baik dalam setiap perbuatan dan tindakan, agar menjadi sumber inspirasi dan kebenaran, bukan sumber konflik dan kebingungan. Buat semua rakyat Pahang yang saya sayangi, peliharakanlah kemakmuran tanah tercinta ini," titah baginda. 

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1446H di Dewan Konvensyen Casuarina, Meru hari ini diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut berangkat Raja Muda Perak Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi 1446H kepada Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah Prof Madya Dr Ahmad Husni Hasan, selain Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar-Ridzuan) kepada Felo Penyelidik Utama Universiti Malaya Prof Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, dengan dihadiri kira-kira 500 umat Islam.

Sambutan yang bermula 10.30 pagi itu turut dihadiri Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dimulakan dengan ceramah Khas Maal Hijrah diikuti bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid dan tayangan montaj Maal Hijrah.

Dalam titah baginda, Sultan Sallehuddin mengingatkan umat Islam jangan mengorbankan jati diri sebagai seorang Muslim, semata-mata kerana inginkan kuasa, kekayaan harta benda, pangkat dan populariti kerana kesemuanya ini tidak akan kekal lama.

Baginda menekankan sebaliknya umat Islam hendaklah mengutamakan persaudaraan, integriti, kualiti insan dan keberkatan, dalam segala tindak tanduk yang kita laksanakan.

Pada majlis tersebut, Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas Imam Besar Masjid Negara dan juga mantan Anggota Parlimen Baling Datuk Taib Azamudden Md Taib.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar seluruh umat Islam meningkatkan kecintaan dan keimanan kepada Allah SWT sempena Tahun Baharu Hijrah.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah agar umat Islam, khususnya di Selangor untuk terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian.

“Umat Islam diharap dapat menjadikan tahun baharu ini lebih baik dengan amalan-amalan murni dan istiqamah dalam mencari keredhaanNya,” titah baginda sempena Maal Hijrah 1446H/ 2024M yang di sambut di peringkat negeri itu malam tadi di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Di PULAU PINANG, sambutan Maal Hijrah berlangsung secara sederhana namun meriah di Masjid Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Teluk Air Tawar dan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Tun Ahmad Fuzi dalam ucapannya menyeru umat Islam di negeri ini agar menjiwai peristiwa hijrah dengan membina perpaduan dan mengukuhkan persaudaraan seperti diperlihatkan Nabi Muhammad SAW dalam mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.

Pada majlis itu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Datuk Maktar Shapee, 75, yang berkhidmat selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah  dan menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi dan bar emas.

Di JOHOR, sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Dewan Jubli Intan Johor Bahru dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor dianugerahkan kepada bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Johor Jainudin Mt Sum @Munajat, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk Kadi Daerah Kluang dan kini menjadi panel Mahkamah Rayuan Negeri Johor Jabatan  Kehakiman  Shariah Negeri Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Mohd Fared pada majlis itu berkata cabaran global sedang dilalui hari ini menuntut semua pihak untuk lebih rasional dalam berfikir dan berusaha mencari titik persamaan agar setiap permasalahan dapat diatasi dengan baik dan berkesan. 

Di TERENGGANU, sambutan Maal Hijrah peringkat negeri dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Pada majlis tersebut johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1999, Masnah Awang, 73, yang kini bertugas sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446 Hijrah di peringkat negeri Terengganu.

Di PERLIS, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dalam perutusan sempena Maal Hijrah yang dimuat naik dalam hantaran Facebooknya mengajak umat Islam mengambil ibrah Maal Hijrah dengan melakukan hijrah untuk merubah diri menjadi lebih baik.

Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri dijadualkan berlangsung pada Khamis ini (11 Julai) dan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijangka berangkat ke majlis sambutan berkenaan.  

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan