AM

Penekanan Aspek Jati Diri Lahirkan Generasi Berakhlak - Tokoh Maal Hijrah Kedah

07/07/2024 04:40 PM

ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- Bekas Imam Besar Masjid Negara yang juga Tokoh Maal Hijrah Kedah 2024, Datuk Taib Azamudden Md Taib berkata generasi muda perlu diperkasakan supaya menjadi muslim sejati dan memiliki jati diri yang kental.

Beliau berkata pengukuhan akhlak dan jati diri akan menjadikan seseorang itu bersifat baik dan penyabar dalam menghadapi pelbagai cabaran, sekali gus tidak melakukan perbuatan yang dilarang dalam Islam.

“Walaupun apa sahaja kesulitan dan cabaran yang dihadapi, janganlah kita lupa jati diri, terapkan jati diri seperti yang diaturkan Nabi Muhammad SAW.

“Janganlah kita hilang jati diri, hilang akhlak, hilang iman dan tatasusila sebagai seorang Muslim yang akan merugikan diri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1446 peringkat negeri di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Taib Azamudden, 74, yang menerima wang tunai RM15,000 dan sijil penghargaan.

Taib Azamudden yang juga bekas Ahli Parlimen Baling turut mengingatkan umat Islam supaya mengambil tahu hal berkaitan politik dan tidak meninggalkan politik kerana ia sebahagian daripada tuntutan agama.

Beliau berkata dalam berpolitik, setiap undi untuk memilih wakil kepimpinan haruslah tidak merosakkan Islam dan menjadi tanggungjawab setiap Muslim memahami perkara itu.

Taib Azamudden yang memiliki enam anak memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Institut Dakwah, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1977 hingga 1980 selepas menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1977.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Pengarah Pentadbiran Qariah, Unit Kariah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 1981 hingga 1982 sebelum dilantik sebagai Imam 1, Masjid Negara pada 1985 hingga 1992 dan kemudian sebagai Imam Besar Masjid Negara pada 1992 hingga 1999.

Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau beralih ke kancah politik dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Baling selama dua penggal dari 1999 hingga 2004 dan 2008 hingga 2013.

Pada masa ini beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tarbiah Haraki An-Nur, Kuala Ketil, Baling. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan