AM

Beg Anyaman Mengkuang Terengganu Laris Di Program Madani Rakyat Zon Timur

07/07/2024 04:58 PM

KUANTAN, 7 Julai (Bernama) -- Keindahan motif kelarai Terengganu yang diterjemahkan dalam pelbagai produk berasaskan mengkuang dan songket menjadi tumpuan pengunjung sepanjang Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur apabila mencatatkan penjualan lebih RM30,000. 

Bertempat di reruai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), pengusaha kraf, Zaitun Abas, 51, berkata perusahaan kraf yang dijalankan bersama komuniti penduduk kampungnya di Pasir Raja, Dungun, Terengganu itu mencapai sasaran jualan sepanjang tiga hari program berlangsung.

Ibu kepada dua anak itu berkata antara barangan kraf paling laris adalah beg fail daripada anyaman mengkuang dan beg tangan wanita berasaskan songket.

“Produk kraf ini dihasilkan bersama  penduduk kampung dan sebelum ini, kami pasarkan di sekitar kampung sahaja dan jualannya memang tidak memberangsangkan. Tetapi, apabila menyertai KETENGAH, banyaklah mereka bawa kami ke mana-mana promosi seperti ini (PMR) dan jualannya sangat bagus. 

“Semalam sahaja, produk anyaman kampung kami terjual dalam RM20,000 sehari dan kami mendapat tempahan untuk siapkan beg fail berasaskan anyaman mengkuang serta beg tangan songket yang diinovasikan untuk wanita,” katanya kepada Bernama. 

Dijual pada harga RM10 hingga RM300, Zaitun yang mewarisi kemahiran tersebut daripada ibunya berkata motif kelarai negeri yang terkenal dengan keindahan songketnya ini antara tumpuan pengunjung untuk mendapatkan produk kraf berkenaan. 

“Ada pelbagai jenis kelarai yang kami hasilkan untuk dijadikan produk sama ada tikar, beg tangan wanita, beg telefon pintar, beg sembahyang dan banyak lagi, antaranya, kelarai beras patah, kelarai tapak sirih, kelarai sisek bani. 

“Kelarai tradisional nampak seakan-akan motif abstrak dan berasaskan kelarai tradisional itu, kami turut menginovasikannya mengikut trend semasa sama ada corak ataupun warnanya bagi memastikan produk warisan ini terus mendapat sambutan khususnya orang muda,” katanya.

Bagi menyuntik tarikan di reruai itu, Zaitun bersama pengusaha kraf lain turut sama melakukan demonstrasi anyaman tikar mengkuang sebagai pendedahan kepada anak muda mengenai penghasilan produk warisan negara berkenaan.

Tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan kraf Terengganu, eksekutif swasta, Saliha Zainuddin, 35, berkata platform sebegini tidak hanya merancakkan industri kraf negara tetapi juga memudahkan peminat kraf untuk memilikinya dari tiga negeri (Pahang, Kelantan, Terengganu) di bawah satu bumbung sahaja. 

“Apabila ada pameran sebegini (PMR), ia dapat mengetengahkan keunikan kesenian anyaman negara kepada pengunjung sekali gus membangkitkan kesedaran betapa cantiknya kraf tempatan. Ini memang satu daripada cara mempromosikan produk kraf kampung supaya ia terus berkekalan,” katanya yang turut membeli beg telefon pintar berasaskan anyaman mengkuang.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan