AM

Ma'al Hijrah: Fahmi Ajak Semua Rakyat Junjung Titah Agong

07/07/2024 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai adab menggunakan media sosial, bersempena dengan sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata antara titah Seri Paduka Baginda ialah mengingatkan semua rakyat agar tidak menjadikan media sosial tempat berbalah atau bertengkar.

Beliau berkata selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya rakyat tidak membuka aib sesiapa atau menularkan perkara memalukan kerana akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama," katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Fahmi berkata rakyat perlu menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu kerana perpecahan tidak akan memenangkan sesiapa.

"Semoga dengan kedatangan tahun baharu 1446H, Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada kita semua," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan mengangkat tema "Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI" sebagai asas penghayatan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Katanya, tema itu merupakan manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan