AM

Pemenang Pingat Perak Genius Olympiad Pamer Prototaip Di Program Madani Rakyat

07/07/2024 06:19 PM

KUANTAN, 7 Julai (Bernama) -- Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar yang memenangi pingat perak dalam pertandingan Genius Olympiad di Rochester Institute of Technology New York, Amerika Syarikat bulan lepas, berkongsi kejayaan kajian mereka di Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur.

Kejayaan Muhammad Hazim Mohd Khairul dan Muhammad Iqram Irfan Jasman, kedua-duanya berusia 17 tahun melalui projek “Seaweed Base Bioplastic” pada 10 Jun lepas dipamerkan di ruang Pavilion STEM AI di Dataran Sayangi Kuantan sepanjang tiga hari program berlangsung.

Muhammad Iqram Irfan berkata dia dan Muhammad Hazim terkejut bercampur gembira apabila projek mereka terpilih antara 600 projek untuk bertanding di pentas antarabangsa yang turut disertai  67 negara.

“Saya bersyukur apabila menerima e-mel sebagai finalis Genius Olympiad dan kami hanya diberikan masa sebulan bagi mencari sumber dana untuk pergi bertanding. 

“Bagaimanapun, lebih gembira, apabila kami diumumkan sebagai pemenang tempat kedua di New York dan berjaya membawa pulang pingat perak di pentas yang berprestij itu,” katanya kepada Bernama. 

Selain Muhammad Hazim dan Muhammad Iqram Irfan, dua lagi pelajar Tingkatan Lima MRSM Muar, Nur Amni Madiha Azman dan Maziatul Maizura Khairuddin turut menyertai pertandingan itu menerusi projek “Kiambang Soapaholic” dan mendapat tempat keempat.

Nur Amni Madiha berkata Kiambang Soapaholic merupakan produk sabun antioksidan yang berasaskan spesies invasif iaitu pokok kiambang.

“Pertandingan itu merupakan pengalaman pertama dan kami sangat teruja dapat bertanding di peringkat antarabangsa, selain berpeluang meneroka kepakaran dan inovasi daripada pelajar negara lain yang lebih maju,” katanya. 

Sementara itu, guru Biologi MRSM Muar Zaiton Abdullah, 46, berkata beliau berbangga dengan pencapaian empat pelajarnya sekali gus berjaya membuktikan bahawa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat memberi manfaat kepada pelajar. 

“Sebagai guru, saya cuba titipkan semangat kepada pelajar-pelajar untuk membuat kajian dan apabila mereka laksanakan kajian, minat ke arah STEM akan bertambah sekali gus membuka peluang untuk bertanding di peringkat sekolah mahupun antarabangsa,” katanya.

 Selain hasil prototaip pelajar MRSM berkenaan, turut dipamerkan di Pavilion STEM AI ialah produk robotik, dron, permainan dan kamera pintar.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan