AM

Residensi Klebang 2 Di Melaka Capai Kemajuan Projek 99 Peratus

04/10/2024 08:54 PM

MELAKA, 4 Okt (Bernama) -- Kemajuan projek perumahan Residensi Klebang 2 di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di sini mencapai tahap kira-kira 99 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata ketika ini baki kerja-kerja pembinaan projek perumahan berkonsepkan pangsapuri sebanyak 800 unit itu hanya melibatkan pembangunan infrastruktur.

"Saya difahamkan oleh pihak PR1MA tadi berkaitan Residensi Klebang 2, mereka telah memberi komitmen untuk menyiapkan projek berkenaan dengan kadar segera.

"Saya mendapat banyak aduan daripada pihak pembeli yang telah menunggu lama, malah ada yang mula bayar pinjaman yang dibuat dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka Edisi Kedua yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka Datuk Ngoh Chun How.

Mengulas lanjut, Rais berkata kerajaan negeri berharap projek berkenaan dapat segera disiapkan seperti yang dijanjikan sebelum ini untuk diserahkan kepada pembeli.

Beliau berkata sekiranya projek itu masih lagi tertangguh, pihaknya akan membuat aduan ke peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan sewajarnya.

"Di peringkat kerajaan negeri, menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Melaka, kita sentiasa membantu dan memantau kerana kita tidak mahu pembeli berada dalam keadaan terseksa," katanya.

Pada tahun lepas, media melaporkan Residensi Klebang 2 antara tiga projek perumahan di bawah PR1MA yang dikategorikan sebagai 'projek sakit' dan ia sepatutnya siap pada suku pertama tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata sebanyak 24 gerai pempamer melibatkan 20 pemaju perumahan swasta menyertai Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka Edisi Kedua itu yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Tambah beliau, ekspo berkenaan menawarkan hartanah perumahan dan komersial sebanyak 3,980 unit dengan nilai jualan melebihi RM1.83 bilion.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan